Jawatankuasa Pemilihan PAS mohon maaf atas kesilapan pada kertas undi

Haider Yutim
November 23, 2013 09:25 MYT
Jawatankuasa Pemilihan PAS Pusat, Asmuni Awi. --Foto Facebook Asmuni Awi
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PAS Pusat, Asmuni Awi hari ini memomhon maaf atas kesilapan teknikal kertas undi yang berlaku semalam ketika proses pengundian jawatan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.
Berikutan kejadian tersebut, beliau dan seluruh jawatankuasa pemilihan mengakui kesilapan mereka serta berhasrat untuk meletakkan jawatan.
"Hakikatnya saya dan seluruh jawatankuasa saya sebaik dapat kesan kesilapan, kami sebulat suara ingin letak jawatan kerana kami gagal melaksnakan tugas dengan berkesan," katanya dalam satu pengumuman khas pada Muktamar PAS ke-59, pada Sabtu.
Selain itu, Asmuni turut memberitahu bahawa beliau berasa amat kesal dan dukacita atas apa yang berlaku.
Menurut beliau, sebaik sahaja menyedari kesilapan tersebut semalam, pihaknya telah mengambil langkah memberhentikan proses pemilihan bagi mengelakkan sebarang keraguan.
"Kami telah ambil segala langkah yang perlu... dan akhirnya dengan rasa rendah diri saya dan seluruh pasukan memohon maaf atas kesilapan yang berlaku," katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali dalam respon beliau menerima permohonan maaf Asmuni serta pasukan Jawatankuasa Pemilihannya.
Bagaimanapun atas keputusan kepimpinan PAS termasuk presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang, perletakkan jawatan Asmuni tidak diterima.
"Mereka dah jumpa kepimpian dan nyatakan kegagalan mereka serta bersedia untuk meletak jawatan. Presiden rasa itu tak perlu dilakukan kerana kita masih dalam proses melakukan pengundian," katanya dalam satu ucapan respon sejurus selepas pengumuman Asmuni.
Mustafa turut memuji serta mengucapkan tahnuah sikap bertanggungjawab yang ditonjolkan oleh jawatankuasa pemilihan dan terus memberi kepercayaan kepada pasukan itu untuk terus melaksanakan tugas mengendalikan proses pemilihan parti.
Semalam, pemilihan bagi jawatan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat terpaksa dibatalkan kerana berlakunya kesilapan teknikal pada kertas undi.
Proses pemilihan bagi 18 AJK PAS Pusat itu akan diadakan semula pada Sabtu pagi, namun proses pengundian bagi jawatan Timbalan Presiden dan naib Presiden diteruskan seperti biasa.
Kesilapan tersebut dikesan selepas 45 minit perwakilan melakukan proses pemilihan bermula jam 4 petang Jumaat.
Seramai 61 calon bersaing merebut 18 kerusi AJK PAS Pusat dalam pemilihan yang diadakan di Stadium Melawati, Shah Alam.
#Asmuni Awi #mohon maaf #Muktamar #PAS #pemilihan #pengundian