Jawatankuasa Pemerkasaan TVET diterajui Menteri Pendidikan

Bernama
Mei 13, 2019 19:37 MYT
M. Kula Segaran (kanan) melihat salah satu kaedah rawatan yang dijalani Ong Kai Min, 34, semasa mengadakan lawatan di Pusat Neuro-Robotic Rehabilitation Cybernics selepas majlis perasmian pusat tersebut hari ini. - Foto BERNAMA
Jawatankuasa Pemerkasaan Latihan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) Peringkat Nasional akan diterajui Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik bagi merangka polisi baharu yang lebih relevan dalam melaksana agenda TVET mengikut keperluan industri.
Menteri Sumber Manusia M. Kula Segaran berkata keputusan baharu itu dicapai dalam satu mesyuarat khas pada Rabu lepas yang mana jawatankuasa itu juga akan dianggotai beberapa menteri atau kementerian yang berkaitan TVET.
"Jawatankuasa TVET yang baharu ini telah digabungkan dengan sebelum ini yang diterajui Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar dan ia akan diterajui Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.
"Tujuannya kita mahu melihat semula isu TVET ini secara lebih menyeluruh dan merangka strategi baharu bagi memperkasa kedudukan TVET," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan ke Institut Latihan Perindustrian (ILP) Selandar di sini, hari ini.
Terdahulu beliau turut meluangkan masa kira-kira 30 minit berdialog dengan pelajar ILP itu bagi memberi penerangan ringkas tentang kepentingan TVET pada masa depan.
Mengulas lanjut, Kula Segaran berkata penumpuan khusus yang lebih jelas akan diberikan terhadap pelaksanaan TVET di institusi latihan di seluruh negara termasuk di ILP dan kolej vokasional pada masa akan datang.
Beliau berkata tumpuan khas itu melibatkan pelbagai aspek termasuk peruntukan dan infrastruktur yang lebih baik untuk melahirkan tenaga kerja mahir.
Katanya ia selaras dengan keperluan semasa pasaran pekerjaan di negara ini yang lebih menitikberatkan pengambilan tenaga kerja berkemahiran berbanding aspek akademik bagi menghadapi Revolusi Industri (IR) 4.0.
"Apa yang kita dapat lihat sekarang ini banyak kursus yang ditawarkan di universiti tetapi tiada peluang pekerjaan berbanding institusi teknikal, lebih banyak peluang yang ada khususnya menjelang IR 4.0, ekonomi digital dan kecerdasan buatan," katanya.
Beliau berkata tumpuan khusus berkenaan juga bagi melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir tempatan iaitu kira-kira 35 peratus pada tahun depan berbanding hanya 28 peratus pada masa kini.
-- BERNAMA
#Dr Maszlee Malik bagi #ILP Selandar #Institut Latihan Perindustrian #Jawatankuasa TVET #Latihan Pendidikan Teknikal dan Vokasional #M Kula Segaran #Menteri Pendidikan #Menteri Sumber Manusia
;