Jawatankuasa MA63 teliti penambahbaikan institusi kesihatan di Sarawak
Bernama
Januari 7, 2023 18:12 MYT
Januari 7, 2023 18:12 MYT
SIMUNJAN : Penambahbaikan institusi kesihatan awam di Sarawak menjadi antara tumpuan Jawatankuasa Teknikal Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni berkata usaha itu bagi memastikan pembangunan kesihatan yang lebih baik dapat dilaksanakan buat negeri itu selari dengan hak di bawah MA63.
Beliau berkata antara perkara yang perlu diberi perhatian segera termasuk keadaan fasiliti kesihatan di negeri itu yang daif.
"Kita dapati terdapat kuarters kediaman buat petugas kesihatan yang memerlukan perhatian.
"(Selain itu) keperluan tenaga kerja terutama kekurangan doktor di hospital serta klinik kesihatan khususnya di kawasan luar bandar juga akan kita teliti," katanya selepas mengadakan lawatan ke Hospital Simunjan di sini hari ini.
Lukanisman juga yakin Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof mampu merealisasikan dan memuktamadkan beberapa perkara berkaitan MA63 dengan baik.
Pada 5 Dis lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Fadillah telah dipertanggungjawabkan untuk memfokuskan hal ehwal Sabah dan Sarawak terutama Perjanjian MA63.
Fadillah juga berperanan memastikan jurang ekonomi antara rakyat di Semenanjung serta Sabah dan Sarawak akan dikurangkan.
-- BERNAMA
#Perjanjian Malaysia 1963
#Timbalan Menteri Kesihatan Sarawak
#institusi kesihatan
#Lukanisman Awang Sauni
#PM10