Jawatankuasa khas tangani masalah 'ah long' perlu segera ditubuhkan - PPIM

Bernama
April 20, 2017 17:33 MYT
Nadzim berkata, mengikut statistik, terdapat 15,000 kes yang melibatkan ah long sepanjang tahun lepas seperti pemerasan dan memukul peminjam dan pihaknya khuatir jumlah itu akan meningkat tahun ini. Gambar fail
Sebuah jawatankuasa khas menangani isu peminjam wang tidak berlesen atau 'ah long' perlu segera ditubuhkan berikutan isu tersebut sudah berlarutan hampir 10 tahun namun tiada jalan penyelesaian.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata jawatankuasa ini akan merekodkan segala kes yang berkaitan ah long bagi membolehkan pihak berkuasa seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengambil tindakan sewajarnya.
"Rekod seperti nama dan nombor kad pengenalan si ah long ini boleh dijejaki LHDN untuk rujukan cukai. Pihak berkuasa lain juga boleh menggunakan rekod yang sama untuk tujuan penguatkuasaan undang-undang jika ah long ini didapati melakukan kesalahan," katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Jelasnya, mengikut statistik yang direkodkan pihaknya, terdapat 15,000 kes yang melibatkan ah long sepanjang tahun lepas seperti pemerasan dan memukul peminjam dan pihaknya khuatir jumlah itu akan meningkat tahun ini.
Tegasnya, jumlah kes yang banyak itu amat membimbangkan PPIM kerana ah long secara umumnya dilapor mampu membuat pelbagai perkara yang bertentangan dengan undang-undang selagi hutang dan pinjaman tidak dilangsaikan. - BERNAMA
#Ah Long #jawatankuasa khas #Lembaga Hasil Dalam Negeri #Nadzim Johan #peminjam wang tidak berlesen #Persatuan Pengguna Islam Malaysia
;