Jawatankuasa khas siasat punca kebakaran KBC
Astro Awani
Julai 7, 2018 08:25 MYT
Julai 7, 2018 08:25 MYT
Satu jawatankuasa khas akan ditubuhkan bagi menyiasat punca sebenar kebakaran tangki simpanan minyak mentah milik Kemaman Bitumen Company (KBC).
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Terengganu, Azlimin Mat Noor memaklumkan, siasatan terperinci akan dilakukan sejurus operasi pemadaman selesai.
Menurut Azlimin, pihaknya menjangka operasi pemadaman dapat diselesaikan dalam masa 48 jam.
"Untuk penyiasatan kebakaran, pihak bomba sendiri akan melaksanakan penyiasatan tersebut. Mungkin juga pegawai dari ibu pejabat akan dijemput untuk menjalankan penyiasatan kebakaran.
"Siasatan ini juga akan melibatkan pakar perunding syarikat tersebut di mana pereka bentuk tangki itu akan dipanggil untuk memberi keterangan," katanya.
Sementara itu Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ketika ini fokus lebih terarah kepada operasi pemadaman.
"Pada peringkat ini kita belum mendapatkan sebarang maklumat tentang punca kebakaran dan saya rasa tidak wajar untuk menunding jari atau hipotesis kemungkinan apa yang berlaku.
"Kita tumpukan perhatian untuk memadam dan mengawal kebakaran dahulu dan selepas itu barulah pihak bomba akan menjalankan siasatan mereka.
"Pengurusan kilang juga berkata mereka akan beri kerjasama penuh dalam siasatan bagi menentukan apakah punca tragedi ini," katanya.
Seramai 146 anggota bomba dari 22 balai termasuk dari Pahang masih giat menjalankan operasi pemadaman.
Kebakaran yang berlaku di kawasan perindustrian Teluk Kalong, Kemaman itu turut mengakibatkan sebahagian besar kawasan kilang diliputi asap hitam.
#Ahmad Samsuri Mokhtar
#Azlimin Mat Noor
#bomba
#jawatankuasa khas
#KBC
#kebakaran
#Kemanan Bitumen Company
#Pemadaman
#siasatan