Jawatankuasa khas siasat aduan dan bantahan

Khairunnisa Kasnoon
Oktober 17, 2013 10:38 MYT
Satu jawatankuasa khas akan meneliti dan memperhalusi semula keseluruhan keputusan Pemilihan UMNO 2013 sekiranya ada bantahan ataupun aduan daripada anggota parti.
Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Abdul Rauf Jusoh memaklumkan, pihaknya telah menjangkakan mesyuarat pemilihan kali ini akan menerima bantahan, justeru unit jawatankuasa khas ditubuhkan bagi menyiasat kes yang dilaporkan.
"Jadi jawatankuasa khas ini akan melihat sekiranya ada kes bersangkutan dan perlu disiasat," kata Abdul Rauf.
Jelasnya, pihak urus setia akan menyiasat setiap laporan yang dihantar ke ibu pejabat untuk tindakan susulan.
"Perjalanannya akan diteliti semula sekiranya aduan atau bantahan itu ada menunjukkan unsur-unsur tidak mengikut peraturan mesyuarat dan pihak urus setia akan menyiasat semua kes yang dihantar ke ibu pejabat," tambah beliau.
Abdul Rauf berkata demikian bagi mengulas perjalanan proses pemilihan kepimpinan tiga sayap parti - Wanita, Pemuda dan Puteri minggu lalu.
Beliau ditemui ketika ditemu bual Astro AWANI di pejabatnya di sini.
Mengakui terdapat sedikit kelemahan dalam proses tersebut, namun beliau percaya, proses pemilihan secara terbuka itu keseluruhannya akan membawa perubahan kepada UMNO.
#Abdul Rauf Jusoh #majlis tertinggi #pemilihan Umno 2013 #UMNO