Jawatankuasa khas selesai tuntutan royalti

Astro Awani
Januari 21, 2013 09:12 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sekali lagi memberi jaminan bahawa tuntutan royalti minyak di negeri-negeri Pantai Timur akan diselesaikan segera oleh jawatankuasa khas yang ditubuhkan oleh kerajaan persekutuan.
Najib memaklumkan semua wakil kerajaan negeri serta wakil yang dilantik oleh Sultan-Sultan akan turut menganggotai jawatankuasa berkenaan.
Malah jawatankuasa ini akan turut disertai pakar undang-undang.
Jelas Najib, penubuhan Jawatankuasa Khas Royalti Minyak ini adalah untuk membincangkan isu ini secara telus dan adil.
Oleh itu, beliau meminta pembangkang berhenti mengunakan isu royalti minyak untuk menagis simpati rakyat.
“Tidak perlulah berarak kesana dan kemari sampi naik kereta ke Kuala Lumpur. Apa asasnya bila asyik menyebut tuntutan RM6 bilion. Usahlah terus menipu rakyat lagi,” kata Najib.
Sementara itu, Najib juga menyeru rakyat Kelantan agar tidak mengkompromikan soal akidah untuk politik.
“Islam tidak membangun dengan hanya slogan dan cat warna hijau sahaja,” kata Najib.
Pada masa yang sama, Perdana Menteri turut menyeru kepada rakyat Kelantan supaya tidak mempolitikan bidang pendidikan kerana ia terlalu mahal harganya untuk diperjudikan.
Ini kerana ia adalah bekalan kepada kejayaan anak bangsa yang mencorakkan masa depan negara pada masa depan.
Sementara itu, Perdana Menteri mengumumkan tujuh perkara yang bakal dilaksana di Kelantan.
Antaranya ialah, pembinaan Lebuh Raya Kuala Krai - Kota Bharu secara berperingkat, pembinaan stadium baru, menyelesaikan masalah bekalan air bersih, menyediakan 3000 unit perumahan rakyat, pembinaan Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus bandar dengan kapasiti 5000 pelajar, pembinaan masjid terbesar di Kelantan, bernilai RM50 juta dan mewujudkan Rapid KB bagi menyelesaikan masalah kesesakan di Kota Bharu.
#jawatankuasa khas #Najib Tun Razak #tuntutan royalti
;