Jawatankuasa khas Sabah bentang laporan pendataan digital PATI 27 Jun ini
Astro Awani
Jun 15, 2022 19:07 MYT
Jun 15, 2022 19:07 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan Sabah dalam proses mengumpul data semua pendatang asing tanpa izin (PATI) di negeri itu.
Menerusi kenyataan ringkas Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Jeffrey Kitingan berkata, pendataan digital penting sebagai usaha ke arah pemberian Kad Warga Asing (Foreigner Card) untuk PATI di negeri itu.
‘’Jawatankuasa Khas Kabinet bersama pihak berkepentingan sedang memantau perkara ini dan akan membentangkan laporan kepada Kabinet Sabah pada 27 Jun ini untuk tindakan lanjut.
‘’Biarkan Sabah meneliti perkara ini terlebih dahulu dan mendapatkan fakta mengenai perkara ini (sebelum pemberian kad),’’ katanya.
Tambahnya, tanpa data ini, kerajaan negeri tidak boleh meneruskan pengeluaran Kad Warga Asing di negeri itu.
Pada 9 Jun lalu, Jeffrey memaklumkan, kerajaan negeri sedang melakukan pendataan digital sebelum memutuskan untuk mengeluarkan Kad Warga Asing.
Keputusan itu dibuat selepas mendapat konsesus majoriti pada sesi townhall pada Khamis.
Selain itu, Pakatan Harapan (PH) Sabah bersetuju dengan cadangan kerajaan negeri untuk mendatakan warga asing secara digital tetapi belum yakin dengan idea mengeluarkan kad identiti kepada golongan itu.
Ketua Pakatan Harapan Sabah Datuk Christina Liew berkata, pihaknya perlu meneliti terlebih dahulu idea tersebut.
Pada Februari, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan bahawa pemberian Kad Warga Asing (Foreigner Card) kepada PATI di Sabah bukan keputusan muktamad sebaliknya akan dibincangkan secara lanjut oleh kerajaan negeri.
Cadangan itu tidak melibatkan pemberian kad pengenalan mahupun dokumen kepada warga asing termasuk memberikan mereka taraf kewarganegaraan.
Malah menurutnya, pelaksanaan pemberian itu perlu melalui penelitian rapi dengan mengambil kira pandangan dan input daripada semua pihak.