Jawatankuasa Khas Parlimen sokong RUU Kawalan Tembakau, tapi syor GEG ditangguh tiga tahun
Hasimi Muhamad
Julai 28, 2022 14:25 MYT
Julai 28, 2022 14:25 MYT
KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) Kesihatan, Sains dan Inovasi secara dasar bersetuju dengan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022, yang dijadual dibentangkan di Dewan Rakyat pada minggu depan.
Bagaimanapun, Pengerusinya, Kelvin Yii Lee Wue mengesyorkan agar pelaksanaan Generation End Game (GEG) ditangguhkan selama tiga tahun lagi bagi mengukuhkan persiapan kerajaan.
"Ini bermakna GEG akan melibatkan individu yang dilahirkan selepas 2008.
"Selain itu, jawatankuasa mencadangkan agar RUU itu memasukkan klausa "Penilaian Mandatori". Laporan Penilaian Mandatori yang dibuat dalam PSC kemudiannya perlu dibawa ke Parlimen dalam bentuk usul perbahasan dan diundi," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, Kelvin berkata pertimbangan utama melibatkan Klausa Penilaian Mandatori adalah melibatkan tempoh tiga tahun dan 10 tahun.
Bagi tiga tahun, ia ditetapkan sebagai tempoh menilai kesediaan kerajaan dalam melaksanakan sepenuhnya GEG dan keperluan undang-undang berasingan bagi produk tembakau mudah terbakar dan tidak mudah terbakar, serta vape, selaras dengan sains dan data.
Kelvin menambah, parameter penilaian hendaklah dipersetujui dengan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Parlimen melalui PSC Kesihatan, Sains dan Inovasi.
Katanya, pelaksanaan penuh GEG hanya akan dilakukan selepas Penilaian Mandatori dibahaskan di Parlimen.
Sementara itu, bagi tempoh penilaian selama 10 tahun, Kelvin berkata jawatankuasa berpandangan penilaian kepada tahap pematuhan dan keberkesanan akta dalam menangani isu merokok perlu dilakukan, selain memasukkan peruntukan baharu, jika perlu berdasarkan sains dan data.
Dalam masa yang sama, jawatankuasa tambah Kelvin, turut tidak bersetuju dengan cadangan hukuman jenayah bagi kesalahan yang melibatkan juvana.
Sebaliknya, ia mengesyorkan agar hukuman yang dikenakan tidak melibatkan pemenjaraan dan kesalahan tidak direkodkan dalam mana-mana sistem sedia ada.
"Ini bermakna tiada jenayah untuk belia kita atas sebab memiliki.
"Antara penalti alternatif yang dicadangkan adalah seperti khidmat masyarakat; sesi kaunseling wajib serta denda yang munasabah untuk pelaku yang pertama kali dengan garis panduan yang jelas," katanya lagi.
Antara syor lain yang turut dikemukakan ialah:
- Terapi gantian nikotin (NRT) dipasarkan secara terbuka di kaunter dan mudah didapati.
- Meningkatkan peruntukan dan mengukuhkan Program mQuit.
- Sekurang-kurangnya 10 peratus daripada cukai yang dikutip daripada industri vape mesti diperuntukkan kepada program mQuit.
Semalam, Khairy membentangkan RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022, yang antara lain mengetengahkan larangan merokok apa-apa produk tembakau atau pengganti tembakau serta larangan penggunaan peranti merokok, oleh mana-mana individu yang lahir pada 2007 dan seterusnya serta bagi perkara yang berkaitan.