Jawatankuasa Khas Kabinet ditubuh lindungi golongan rentan - PM
Bernama
April 23, 2022 15:20 MYT
April 23, 2022 15:20 MYT
SEREMBAN: Jawatankuasa Khas Kabinet Melindungi Golongan Rentan ditubuhkan bagi melindungi kebajikan golongan rentan khususnya kanak-kanak, orang kurang upaya (OKU), wanita dan warga emas, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata jawatankuasa yang dipengerusikannya sendiri itu dianggotai Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM); Kementerian Dalam Negeri (KDN); Kementerian Pendidikan (KPM); Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT); Kementerian Kesihatan (KKM); Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
Katanya jawatankuasa itu akan memastikan semua pusat jagaan yang beroperasi diurus mengikut prosedur dan peruntukan di bawah Akta Pusat Jagaan 1993.
"Dalam hal yang sama, jawatankuasa ini juga akan melihat operasi institusi pengajian agama seperti pusat tahfiz yang tidak berdaftar dan yang tidak diurus dengan baik," katanya kepada pemberita.
Terdahulu Ismail Sabri melawat remaja perempuan sindrom Down dikenali sebagai Bella di Rumah Kebajikan di bawah seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di sini.
Turut hadir Menteri KPWKM Datuk Seri Rina Mohd Harun dan Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Senator Datuk Ras Adiba Radzi.
#Jawatankuasa Khas Kabinet
#golongan rentan
#Jabatan Kebajikan Masyarakat
#Perdana Menteri
#ismail sabri yaakob
#Kes Bella
#rumah bonda