Jawatankuasa khas fokus seragam harga barang di Sabah, Sarawak, Labuan
Bernama
Disember 8, 2023 19:32 MYT
Disember 8, 2023 19:32 MYT
KUCHING: Satu jawatankuasa khas yang bakal dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof bertujuan menstabilkan harga barang di Sabah, Sarawak dan Labuan akan meneliti secara holistik program kerjasama dengan kerajaan negeri dalam menangani isu berkenaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan menjadi urus setia bagi jawatankuasa khas itu yang turut melibatkan kementerian lain serta wakil daripada kerajaan Sarawak, Sabah dan Perbadanan Labuan.
"Mungkin ada barangan tertentu yang (kerajaan) negeri berhasrat untuk secara terus dapat bekalan dari luar (negara), jadi (kerajaan) Persekutuan akan memudah cara bantuan, termasuklah untuk mempertimbangkan peruntukan tambahan yang perlu," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan kenderaan Angkatan Pertahanan Awam Sarawak 2023 di sini hari ini.
Armizan yang juga Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup berkata buat masa ini, kerajaan telah menggerakkan dua program khusus yang memberi fokus kepada penyeragaman harga barang di wilayah Borneo, iaitu program penyeragaman harga pelabuhan ke pelabuhan serta program pengedaran barang perlu melalui "community drumming".
Dalam pada itu, Armizan berkata isu logistik tidak sepatutnya dijadikan alasan yang mengakibatkan keperluan harian serta barangan basah seperti ayam di Sabah, Sarawak dan Labuan dijual dengan harga tinggi berbanding di Semenanjung, memandangkan negeri di Borneo mempunyai ladang ternakan ayam sendiri.
"Jadi difahamkan ada isu-isu lain contohnya bekalan makanan untuk ayam yang terpaksa import dari luar (mengakibatkan daging ayam dijual pada harga tinggi) ... kita perlu lihat (cara lain) untuk menangani isu ini khususnya melibatkan keperluan harian masyarakat," katanya.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa berucap pada Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Kebangsaan 2023 di Penampang, Sabah meminta Fadillah yang juga Pengerusi Majlis Pelaksanaan Tindakan Perjanjian Malaysia 1963 mengkaji isu harga barang yang tinggi di wilayah Borneo.
Perdana Menteri turut memberi jaminan untuk menangani perkara itu dengan baik termasuk memberi suntikan peruntukan subsidi supaya boleh menurunkan harga barang yang tinggi seperti ayam dan beras terutama di Sabah.
-- BERNAMA