Jawatankuasa khas ditubuh, pastikan bekalan makanan mencukupi
Astro Awani
Mac 24, 2020 15:37 MYT
Mac 24, 2020 15:37 MYT
Satu jawatankuasa khas ditubuhkan bagi memastikan bekalan makanan mencukupi dan tidak terjejas ketika negara berhadapan wabak COVID-19 termasuk pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, jawatankuasa itu melibatkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Kementerian Pertanian Dan Industri Asas Tani serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
"Jawatankuasa khas ini dipengerusikan menteri MITI untuk memastikan bekalan mencukupi dan tidak terganggu," katanya dalam sidang media di sini pada Selasa.
Tambahnya, jawatankuasa itu juga akan membincangkan segala isu berkaitan rantaian bekalan terutama bahan basah termasuk ikan dan sayur serta bagaimana memastikan proses penghantarannya berjalan lancar sehingga sampai kepada pengguna.
"Jawatankuasa ini akan bincang bukan sahaja mengenai permintaan tetapi juga segala isu berkaitan dari permulaan rantaian bekalan makanan melibatkan pertanian termasuk bekalan ikan, sayur dan sebagainya.
"Kita nak melihat jika ada masalah dihadapi, mungkin berkaitan pengangkutan yang tak dapat diguna atas sebab tertentu. Jadi, jawatankuasa ini akan pastikan bekalan makanan dapat dibawa dan dihantar, serta pembungkusan boleh dilakukan," tambahnya lagi.