Jawatankuasa khas dibentuk tangani isu pencemaran racun dalam sayur, buah di Pahang
Bernama
Jun 8, 2024 21:00 MYT
Jun 8, 2024 21:00 MYT
KUANTAN: Kerajaan Negeri Pahang telah menubuhkan Jawatankuasa Kawalan Keselamatan Penggunaan Racun Makhluk Perosak susulan isu pencemaran racun serangga dalam sayur-sayuran dan buah-buahan di negeri itu.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang Razali Kassim berkata jawatankuasa khas itu yang mengadakan mesyuarat pertama pada Rabu lepas menggariskan beberapa tindakan melibatkan pelbagai agensi di sepanjang rantaian bekalan bermula dari ladang hingga ke pasaran.
Beliau berkata tumpuan yang lebih agresif difokuskan di peringkat ladang dengan pengusaha ladang akan dipantau dari segi kepatuhanan terhadap perundangan termasuk mendapat kelulusan dan lesen sah untuk beroperasi serta berdaftar dengan Jabatan Pertanian selain diwajibkan mendapat pensijilan MyGAP.
"Selain itu pemilik ladang dan kebun serta pekerja mereka akan dilatih semula dengan pekerja terlatih sahaja dibenarkan mengendalikan racun di ladang manakala semua pemilik kebun dan ladang akan diwajibkan mempunyai rekod penyimpanan data yang lengkap, bersistematik dan kebolehkesanan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Razali berkata pelaksanaan ini akan melibatkan tindakan di bawah agensi seperti Pejabat Tanah dan Galian, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Pertanian Negeri.
Menurutnya bagi tindakan pemantauan dan penguatkuasaan di pusat pengumpulan dan pasaran, agensi sedia ada seperti Jabatan Kesihatan Negeri, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan PBT telah diminta mempertingkat aktiviti penguatkuasaan supaya tindakan lebih tegas dapat diambil.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya membeli sayur dan buah yang mempunyai logo MyGAP dan pensijilan organik yang dikeluarkan Jabatan Pertanian atau logo pensijilan Kementerian Kesihatan.
-- BERNAMA