Jawatankuasa khas cadangan projek HSR Bangkok-KL ditubuhkan

Rahimah Abdullah
Mei 17, 2022 20:52 MYT
Jelas Ka Siong, jawatankuasa khas itu akan diketuai oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Malaysia dan Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan Thailand. - Foto Facebook/Wee Ka Siong
KUALA LUMPUR : Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong dan rakan sejawatannya dari Thailand, Saksayam Chidchob bersetuju menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi membincangkan secara terperinci mengenai perancangan, jajaran dan aspek teknikal cadangan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HRS) Bangkok-Kuala Lumpur.
Jelas Ka Siong, jawatankuasa khas itu akan diketuai oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Malaysia dan Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan Thailand.
"Susulan daripada lawatan rasmi Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke Thailand dan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Thailand pada Februari 2022, kami seperti mana yang diamanahkan oleh kedua-dua Perdana Menteri, buat kali pertama memulakan perbincangan tentang cadangan projek keretapi kelajuan tinggi (HSR) dari Bangkok ke Kuala Lumpur," katanya melalui laman sosial Facebooknya pada Selasa.
Ka Siong turut merakamkan penghargaan kepada Saksayam atas kerjasama melaksanakan Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) pada pertengahan Mac 2022 walaupun untuk tempoh singkat sebelum sempadan Malaysia dibuka semula mulai 1 April 2022.
"Malaysia dan Thailand akan terus berkerjasama untuk memulihkan sektor penerbangan," ujarnya.
#Wee Ka Siong #Kuala Lumpur #Bangkok #HSR #Kereta Api Berkelajuan Tinggi