Jawatankuasa Khas Bebas Darurat selesai tugas menasihati Agong - Anthony Loke
Umavathi Ramayah
Julai 31, 2021 16:45 MYT
Julai 31, 2021 16:45 MYT
KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Khas Bebas Darurat selesai menjalankan tugas menasihati serta mempersembahkan laporan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Ahli jawatankuasa itu, Anthony Loke memberitahu, kali terakhir jawatankuasa itu bermesyuarat adalah dua minggu lalu dan perkara yang diputuskan itu telah dipersembahkan kepada Agong.
"Ingin saya tegaskan di sini, tugas jawatankuasa ini adalah untuk menasihati Agong bukannya kerajaan. Kita tidak melaporkan kepada kerajaan tetapi terus kepada Agong.
"Apa yang diputuskan oleh jawatankuasa ada pandangan kita sendiri, jadi terpulang kepada Agong. Kerja kita adalah adalah menasihati Agong," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini, pada Sabtu.
Ditanya mengenai kandungan laporan itu, Anthony Loke bagaimanapun enggan mendedahkan kerana terikat kepada Akta Rahsia Rasmi (OSA).
"Perincian lanjut mengenai laporan itu kena tanya Tun Arifin Zakaria (Pengerusi Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021)," ujarnya.
Bagaimanapun, Anthony Loke yang juga Ahli Parlimen Seremban menjelaskan ia terpulang Tun Arifin sama ada mendedahkan laporan itu atau sebaliknya.
Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 itu ditubuhkan pada Februari lalu mengikut Seksyen 2 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021.
Ia dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria.
Keanggotaannya terdiri daripada pakar kesihatan awam, wakil parti politik pembangkang dan kerajaan, tokoh pendidikan, wakil dewan perniagaan, keselamatan, pentadbiran awam serta mufti.
#Yang di-Pertuan Agong
#Parlimen
#pembangkang
#pendidikan
#Seremban
#Anthony Loke
#Ordinan Darurat
#berita politik