Jawatankuasa Khas Bebas Darurat mampu jalankan tanggungjawab secara bebas, adil - Irmohizam
Fauzi Suhaimi
Februari 11, 2021 16:33 MYT
Februari 11, 2021 16:33 MYT
KUALA LUMPUR: Pelantikan keanggotaan Ahli Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 yang diwakili pelbagai lapisan masyarakat diyakini mampu menjalankan tanggungjawab secara bebas dan berkecuali.
Peguambela peguamcara Tetuan Ganesan dan Irmohizam, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim berkata, pelantikan itu turut membantu mengembalikan keyakinan rakyat ke atas prinsip amalan demokrasi yang telah dipraktikkan Malaysia selama ini.
"Mana-mana pihak tidak harus sangsi dengan kewibawaan barisan ahli jawatankuasa ini.
"Kita harus memberi ruang yang secukupnya kepada jawatankuasa ini dalam menjalankan amanah yang diletakkan iaitu akan memberi pandangan dan cadangan yang kukuh dalam mengakhiri darurat kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, tanpa terus menjadikan darurat sebagai bahan politik dan kepentingan diri masing-masing," katanya dalam kenyataan di sini, pada Khamis.
Pejabat Perdana Menteri pada Selasa mengumumkan pelantikan ahli Jawatankuasa khas itu selepas diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Pejabat Perdana Menteri memaklumkan, jawatankuasa itu ditubuhkan mengikut Seksyen 2 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021.
Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan keyakinan barisan kepimpinan jawatankuasa itu mampu membantu negara dalam mencapai matlamat yang telah disasarkan semasa proklamasi darurat diumumkan awal bulan lalu.
#Ahli Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021
#Irmohizam Ibrahim
#Bebas
#darurat
#PP
#COVID-19
#Perdana Menteri