Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021: Penghormatan buat tiga Anak Sarawak

Nuzuluddin Abdul Razak
Februari 10, 2021 14:16 MYT
Dr Andrew pernah terlibat sebagai perunding sementara Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam program kesihatan bandar dan persekitaran. - Foto UNIMAS
KUCHING: Profesor Datu Dr Andrew Kiyu Dawi Usop menyifatkan pelantikannya sebagai Ahli Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 sebagai satu penghormatan.
Bagi bekas Pengarah Kesihatan Sarawak yang kini Profesor Kesihatan Awam, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) itu, pelantikan berkenaan satu tanggungjawab besar kepada negara.
Beliau yang juga Felo American College of Epidemiology, berpengalaman lebih 40 tahun dalam bidang kesihatan awam dan epidemiologi.
Dr Andrew juga pernah terlibat sebagai perunding sementara Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam program kesihatan bandar dan persekitaran selain menjadi perunding kehormat Kerajaan Negeri Sarawak.
Selain itu, dua lagi Anak Sarawak yang dilantik menganggotai jawatankuasa berkenaan ialah bekas Ketua Pengarah Kesihatan negara, Prof. Tan Sri Dr Mohamad Taha Arif dan Ahli Parlimen Batang Lupar Datuk Seri Rohani Abdul Karim.
Berterima kasih di atas kepercayaan itu, mereka bagaimanapun enggan mengulas lanjut sehingga perlantikan rasmi dilakukan di peringkat Persekutuan.
#Sarawak #darurat #jawatankuasa #Rohani Abdul Karim #Prof Datu Dr Andrew Kiyu Dawi Usop #Tan Sri Dr Mohamad Taha Arif
;