Jawatankuasa kerjasama universiti, pasaran modal insan ditubuhkan
Harits Asyraf Hasnan
November 11, 2015 18:30 MYT
November 11, 2015 18:30 MYT
Sebuah jawatankuasa kerja akan ditubuhkan kerajaan dalam usaha memastikan universiti di negara ini dapat melahirkan modal insan yang memenuhi kehendak pasaran semasa.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata jawatankuasa itu akan dipengerusikan bersama oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar dan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh.
"Jawatankuasa ini ditubuhkan supaya kita dapat wujudkan kerjasama antara akademia dan pasaran. Semua program kita mesti berdasarkan kepada kedua-dua aspek ini.
"Iaitu rancangan dari segi universiti (untuk melahirkan modal insan) dan juga kita nak apa yang diperlukan oleh pasaran (dipenuhi)," kata Najib pada majlis perjumpaan khas bersama peserta Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) di ibu negara petang ini.
Tambahnya, pasaran pada masa kini memerlukan modal insan yang mempunyai keyakinan tinggi selain mampu berkomunikasi dengan baik terutama dalam Bahasa Inggeris.
Najib berkata kurikulum universiti juga perlu melibatkan elemen komunikasi, kemahiran insaniah, pemikiran kreatif, bekerja secara berdikari dan sebagai satu pasukan.
Jika pihak universiti berjaya mewujudkan kurikulum dan latihan berkesan, katanya kebergantungan graduan kepada program SL1M dapat dikurangkan.
"Jika universiti boleh mengambil alih latihan ini, kita boleh kurangkan SL1M kerana program ini agak mahal kosnya," kata beliau.
Malah, katanya kerajaan sedia memberi lebih peruntukan kepada universiti yang mampu melahirkan graduan yang diperlukan pasaran.
Justeru itu, kebolehpasaran graduan akan dijadikan indeks prestasi utama (KPI) bagi sesebuah universiti, jelas beliau.