Jawatankuasa Kabinet perkasa penggunaan Bahasa Melayu ditubuhkan

Bernama
November 12, 2017 12:43 MYT
Mahdzir berkata kementeriannya akan sentiasa melihat keperluan dan kepentingan IPG bagi memastikan bakal guru yang dilahirkan itu nanti berkualiti sejajar dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025. - Gambar fail
Satu Jawatankuasa Kabinet bagi memperkasa penggunaan Bahasa Melayu dalam setiap urusan akan ditubuhkan dalam dua atau tiga minggu lagi.
Mengumumkan demikian, Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata jawatankuasa itu akan dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Mahdzir berkata, kementeriannya akan bertindak selaku urusetia jawatankuasa itu yang antara lain akan membincangkan penggunaan Bahasa Melayu dalam sistem perkhidmatan dan penyampaian di seluruh kementerian dan jabatan kerajaan.
"Ini untuk membolehkan penggunaan Bahasa Melayu itu dalam semua urusan dapat dikuat kuasakan. Itu satu jawatankuasa peringkat tertinggi.
"Barangkali mudahlah untuk kita membuat beberapa permohonan bagi membolehkan penggunaan Bahasa Melayu dalam setiap urusan dikuat kuasakan," katanya kepada pemberita selepas Program Wacana Intelektual Bersama Pensyarah Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Darulaman dan IPG Kampus Sultan Abdul Halim di sini hari ini.
Selain itu, Mahdzir berkata jawatankuasa kabinet itu juga akan membincangkan penggubalan undang-undang sedia ada berkaitan Bahasa Melayu serta memberi kuasa kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) memantau penggunaan bahasa Melayu dalam penulisan.
"Sekarang DBP menjadi tempat rujukan dan menasihati pihak terbabit dalam penggunaan bahasa yang betul. Kalau diletakkan satu undang-undang yang diluluskan (nanti), tindakan boleh diambil mengikut akta atau seksyen itu.
"Kalau tidak ikut (undang-undang itu) boleh dibawa ke mahkamah," katanya.
Terdahulu, Mahdzir dalam ucapannya berkata kementeriannya akan sentiasa melihat keperluan dan kepentingan IPG bagi memastikan bakal guru yang dilahirkan itu nanti berkualiti sejajar dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.
-- BERNAMA
#Ahmad Zahid Hamidi #Bahasa Melayu #guru #jawatankuasa kabinet #Mahdzir Khalid