Jawatankuasa bebas perlu untuk siasat gangguan LRT - 4PAM

Bernama
September 14, 2016 07:01 MYT
Pada 7 Sept, kerosakan pada sistem isyarat dan komunikasi melambatkan tren LRT antara stesen Ampang Park dan Dang Wangi semasa waktu sibuk sebelah pagi. - Gambar fail
Prasarana perlu membentuk sebuah jawatankuasa bebas dianggotai semua pemegang kepentingan bagi menyiasat gangguan perkhidmatan Transit Rel Ringan (LRT) baru-baru ini.
Presiden Persatuan Pengguna Pengangkutan Awam Malaysia (4PAM) Ajit Johl berkata ini untuk memulihkan keyakinan awam berikutan gangguan di laluan LRT Kelana Jaya pada 7 dan 9 Sept.
"Jawatankuasa ini mestilah bersifat kekal. Isu-isu lain seperti kenaikan tambang, fasiliti dan tahap perkhidmatan boleh juga ditangani demi memenuhi ekspektasi pengguna," kata beliau dalam satu kenyataan di sini semalam.
Ajit Johl, menyambut baik keputusan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membentuk sebuah jawatankuasa bagi menangani isu-isu dan insiden baru-baru ini melibatkan perkhidmatan LRT.
Ajit Johl berharap Prasarana akan juga menentukan semua langkah keselamatan diperiksa berikutan tindakan pengosongan gerabak 9 Sept di mana penumpang dibantu keluar dan berjalan di landasan yang disifatkan amat berbahaya.
"Mereka (Prasarana) perlu menyediakan pelan pengosongan gerabak yang lebih sempurna bagi kes darurat. Nasib baik tidak ada yang cedera," kata beliau.
Pada 7 Sept, kerosakan pada sistem isyarat dan komunikasi melambatkan tren LRT antara stesen Ampang Park dan Dang Wangi semasa waktu sibuk sebelah pagi.
Ini menyebabkan ramai penumpang terkandas di beberapa stesen sebelum perkhidmatan pulih pada 1.15 petang.
Pada 9 Sept, tren dari Datuk Keramat menuju Jelatek tiba-tiba terhenti antara stesen Datuk Keramat dan Damai pada 9.10 pagi, menyebabkan penumpang terkandas selama 20 minit sebelum seseorang membuka pintu dari luar dan memberitahu mereka mengosongkan keretapi.
Penumpang berjalan di atas landasan ke stesen Damai, dalam masa 10 minit.
#4PAM #Ajit Johl #LRT #Persatuan Pengguna Pengangkutan Awam Malaysia #Transit Rel Ringan
;