Jawatankuasa Bebas: Bukan siapa yang dilantik tetapi hasil kerja dilakukan - PAGE
Haider Yutim
September 17, 2014 18:06 MYT
September 17, 2014 18:06 MYT
Persatuan Kumpulan Ibu Bapa Bertindak Untuk Pendidikan (PAGE) yakin bekas Ketua Hakim Negara Tun Zaki Tun Azmi mampu menyelesaikan masalah kobocoran kertas ujian sekolah di Malaysia.
Semalam, Tun Zaki telah dilantik sebagai pengerusi Jawatankuasa Bebas Mengkaji Pengurusan Peperiksaan Awam Kendalian Lembaga Peperiksaan bagi mengkaji semula Prosedur Operasi Standard (SOP) peperiksaan awam oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM).
"Kami amat gembira, serta menantikan pelantikan Tun Zaki dan ahli panel yang lain.
"Bagaimanapun, akhirnya ia bukan tentang siapa yang dilantik tetapi hasil kerja yang dilakukan. Saya harap masalah ini dapat diselesaikan," kata pengerusi PAGE, Datin Noor Azimah Abdul Rahim ketika dihubungi Astro AWANI.
Namun begitu, katanya terkenal dengan sikap telitinya dalam menyelesaikan kes semasa memegang jawatan Ketua Hakim Negara, oleh beliau mampu mengetuai panel tersebut.
Mengulas tentang masalah pembocoran kertas ujian tersebut, katanya panel tersebut perlu mengambil kira semua kemungkinan.
"Contohnya, saya dimaklumkan oleh ketua pengawas peperiksaan bahawa kebanyakan sekolah mempunyai bilik kebal, tetapi ada sekolah yang tiada bilik kebal dan mereka terpaksa menyimpan kertas soalan di balai polis. Jadi mereka perlu selaraskan perkara itu," kata Noor Azimah.
Selain itu, katanya ada sekolah yang menyimpan kertas-kertas soalan tersebut di dalam almari kayu, di mana almari kayu itu kemudiannya dimakan anai-anai.
"Jadi kita perlu elakkan serta membendung cubaan untuk mengusik kertas-kertas soalan itu," tegasnya.
Astro AWANI turut menghubungi Tun Zaki, namun beliau enggan mengulas lanjut tentang perlantikannya.
Pengumuman tentang perlantikan Tun Zaki itu dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Selasa.
Menurut Muhyiddin, Tun Zaki telah pun bersetuju menerima pelantikan berkenaan.
Jawatankuasa itu ditubuhkan ekoran kes kebocoran soalan kertas peperiksaan Sains dan Bahasa Inggeris untuk Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2014 baru-baru ini.
Susulan kes itu, kerajaan telah menggantung tugas Pengarah LPM Dr Na'imah Ishak dan Timbalan Pengarah Operasi badan itu Dr Wan Ilias Wan Salleh sehingga siasatan mengenainya selesai.
Pihak polis turut menahan reman empat lelaki termasuk seorang guru besar dan dua guru bagi membantu siasatan kes itu.
Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan memaklumkan, jawatankuasa bebas itu diberi masa tiga bulan untuk menambah baik operasi LPM dan proses peperiksaan awam di negara ini.