Jawatankuasa banteras penyeludupan, ancaman tonto
Bernama
Januari 13, 2019 07:00 MYT
Januari 13, 2019 07:00 MYT
Polis dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menubuhkan lima jawatankuasa bagi memantapkan penguatkuasaan dalam usaha membanteras aktiviti penyeludupan dan ancaman tonto, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.
Beliau berkata melalui jawatankuasa ini, lebih banyak operasi bersama akan diadakan di lokasi yang akan dikenal pasti.
"Ketika melaksanakan operasi tertentu, anggota Kastam berdepan ancaman seperti tonto, oleh itu anggota polis akan turut bersama dalam operasi yang dijalankan.
"Sebelum satu-satu operasi dilaksanakan juga, jawatankuasa ini akan duduk bersama dan berbincang mengenai pelaksanaan operasi," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Peringkat Tertinggi JKDM dan PDRM pada Ahad.
Mengulas mengenai mesyuarat itu, Mohamad Fuzi berkata antara perkara yang dibincangkan adalah isu penyeludupan rokok, arak, mercun dan barang terlarang.
"Mesyuarat ini akan dijadikan aktiviti tahunan bagi membolehkan PDRM dan JKDM membincangkan pelbagai isu," katanya.
Sementara itu, Ketua Pengarah JKDM Datuk Seri T. Subromaniam berkata jaminan polis untuk memberi perlindungan kepada pegawai yang melaksanakan operasi akan meningkatkan semangat pasukannya untuk membanteras aktiviti penyeludupan.
"JKDM mempunyai maklumat mengenai sindiket (penyeludupan) dan mereka ada banyak lapisan, nak kaitkan mereka ini ambil masa yang lama.
"(Oleh itu), JKDM tidak teragak-agak untuk menggunakan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA)," katanya.
Dalam pada itu, Mohamad Fuzi dan Subromaniam turut menandatangani Nota Kerjasama yang bertindak sebagai garis panduan utama dalam proses perkongsian dan pertukaran maklumat yang lebih efektif dan sistematik.
-- BERNAMA
#haram
#kastam
#keganasan
#Ketua Polis Negara
#Mohamad Fuzi Harun
#operasi
#PDRM
#polis
#sindiket
#tonto