Jawatankuasa Apartmen Waja papar kain rentang: "Katakan tidak kepada orang Afrika"
Astro Awani
Jun 21, 2016 20:44 MYT
Jun 21, 2016 20:44 MYT
“Kami sudah terima banyak aduan. Banyak penyewa Afrika di sini terlalu bising.”
Itu penjelasan dari pengerusi jawatankuasa pengurusan bersama Apartmen Waja di Taman Tun Perak, Mohamad Sahidan Hassan mengenai kain rentang yang dipamer di apartmen tersebut.
Kain rentang tersebut memaparkan wajah seorang lelaki Afrika yang dipangkah beserta gesaan: Say no to African people! (Katakan tidak kepada orang Afrika!).
Menurut The Star Online, kain rentang itu turut menggesa agar pemilik kediaman tidak menyewakan kediaman mereka kepada warga Afrika.
Isi hati penghuni
Jelas Sahidan, kain rentang tersebut menggambarkan isi hati penghuni apartmen tersebut.
“Perkara ini sudah dipersetujui dalam mesyuarat agung tahunan pada tahun 2010 dan diluluskan secara majoriti,” ujarnya lagi.
Salah seorang ahli jawatankuasa pengurusan bersama, Wan Rosdie Yusri menegaskan kain rentang tersebut sama sekali tidak berunsurkan perkauman.
Menurut Rosdie, penduduk apartmen sudah berkali-kali berhadapan dengan karenah warga Afrika yang mengganggu ketenteraman, antaranya:
Gangguan ke atas penduduk wanita, cubaan ragut, pergaduhan yang mencetus bunyi bising, dan menikmati minuman keras di taman permainan kanak-kanak.
“Kami telah berdialog dengan mereka mengenai kelakuan negatif ini. Mereka berjanji untuk berkelakuan baik namun janji tidak ditepati,” jelas Rosdie.
“Kami tidak dilayan seperti manusia”
Kewujudan kain rentang tersebut mengguris hati beberapa penyewa Afrika.
Menurut pelajar Nigeria, Austin Chibuzo, kain rentang itu jelas sekali bersifat perkauman dan mereka yang menggantungnya tidak melayan warga Afrika seperti manusia.
Seorang lagi pelajar Nigeria, Victor Onuoha pula berpendapat rakyat Malaysia kebanyakannya memang memandang serong kepada warga Afrika.
“Rakyat Malaysia kekok dengan orang Afrika. Apabila kami masuk lif, ada yang menutup hidung,” luah Victor.
UNDIAN: