Jawatan tertinggi Umno patut dipertandingkan
Astro Awani
Jun 8, 2013 06:12 MYT
Jun 8, 2013 06:12 MYT
Jawatan presiden dan timbalan presiden umno patut dipertandingkan pada pemilihan parti akhir tahun ini kata Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob.
Adnan berkata ia melambangkan Umno sebagai parti demokratik dan bersifat inklusif.
Ia juga membuktikan Umno sebagai sebuah parti yang mengamalkan demokrasi dan bersifat keterbukaan kepada ahlinya.
Jelasnya, apa saja jawatan dalam parti perlu melalui proses pertandingan.
Adnan sekali gus tidak bersetuju dengan kenyataan bahawa jawatan presiden dan timbalan presiden tidak perlu dipertandingkan daripada beberapa pemimpin Umno.
Namun adnan turut menyatakan sokongan padu kepada kedua-dua pemimpin tertinggi parti, iaitu datuk seri najib tun razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Adnan berkata, sebelum ini Najib dan Muhyiddin juga tidak pernah berkata bahawa jawatan yang dipegang mereka itu tidak boleh ditandingi.
Sebelum ini, badan perhubungan Umno Negeri Sembilan mencadangkan jawatan nombor satu dan dua parti tidak dipertandingkan. Ia bagi memastikan kekuatan parti terus utuh.
Cadangan itu mendapat sokongan naib-naib presiden Umno, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin turut menyokong cadangan berkenaan.
Selain naib presiden, dan ketua pergerakan pemuda, timbalan pengerusi badan perhubungan Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin turut menyatakan sokongan sama.
Terbaru, Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Abdul Rahim Bakri berpendapat jawatan itu juga sewajarnya tidak dipertandingkan.