Jawatan pengerusi GLC antara yang diidam ahli politik - Akhbar Satar

Fauzi Suhaimi
Februari 5, 2021 06:07 MYT
Akhbar berkata banyak kelebihan yang diberikan agensi itu menyebabkan ia dikejar segelintir pemimpin berkenaan. - Gambar Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Jawatan pengerusi di syarikat berkaitan kerajaan (GLC) antara yang diidamkan sesetengah ahli politik di negara ini.
Presiden Persatuan Pemeriksaan Penipuan Bertauliah Malaysia, Datuk Seri Akhbar Satar berkata, ini kerana, banyak kelebihan yang diberikan agensi itu menyebabkan ia dikejar segelintir pemimpin berkenaan.
"Jawatan ini selalunya pentingkan gaji dan keistimewaan yang disediakan GLC itu banyak antaranya diberikan kenderaan, dijaga dengan baik dan sebagainya.
"Ini merupakan salah satu tempat (kedudukan atau jawatan) yang diidamkan kebanyakan ahli politik," katanya kepada Astro AWANI di sini, pada Jumaat.
[TERKINI] Rasuah individu berjawatan tinggi
Dalam pada itu, Akhbar berkata, sikap memonopoli kuasa dalam GLC antara punca berlakunya kegagalan tadbir urus dengan baik sehingga berlakunya salah guna kuasa dan jenayah rasuah.
"Setelah menjadi pengerusi di sesebuah GLC, individu itu turut menjadikan anak syarikat GLC sebagai hak miliknya sehingga turut menjadi penentu kepada pembuat dasar atau keputusan. Perkara ini banyak berlaku.
"Tambahan pula, pengerusi GLC dilantik daripada kalangan ahli politik dan ini tidak disenangi banyak pihak. Pemimpin ini sebenarnya tidak mempunyai masa untuk memikirkan hala tuju GLC kerana masalah di kawasannya juga banyak.
"Ini menyebabkan urus tadbir GLC tidak dilakukan dengan baik," katanya.
Selain itu, beliau menambah, ada juga pengerusi GLC tertentu menggunakan peruntukan dalam GLC untuk melakukan tanggungjawab sosial korporat (CSR) di kawasan masing-masing.
"Ini merupakan kesalahan dan telah melanggar prosedur visi dan misi GLC tersebut.
"Sudah pasti, tindakan itu juga tidak disenangi pihak lain khususnya Ahli Lembaga Pengarah dalam GLC berkenaan," jelasnya.
Beliau mengulas berhubung kes membabitkan bekas Pengerusi Mara Inc Datuk Mohammad Lan Allani didakwa atas 22 pertuduhan bernilai RM20.45 juta di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.
Mohammad Lan Allani bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah atas kesemua pertuduhan itu dihadapan Hakim Hakim Azura Alwi dan Rozina Ayob melibatkan urusniaga hartanah di Australia.
BACA: Rasuah RM20.45 juta: Bekas Pengerusi Mara Inc mengaku tidak bersalah
#Rasuah #politik #jenayah #mahkamah #Akhbar Satar #Australia #GLC #Mahkamah Sesyen #syarikat berkaitan kerajaan