Jawatan MDEC: Tiada masalah jika Izzana Salleh tiada kepakaran bidang IT - Annuar Musa

Ridauddin Daud
Disember 11, 2021 10:28 MYT
Annuar hairan pelantikan Izzana dalam MDEC menjadi buah mulut ramai orang sedangkan beliau juga pernah dilantik dalam beberapa agensi kerajaan sebelum ini. - Gambar/ Instagram @izzanasalleh
PETALING JAYA: Tiada masalah sekiranya Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) yang baharu, Izzana Salleh tiada kepakaran dalam bidang teknologi maklumat, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.
Beliau berkata, MDEC bukan hanya berkaitan digital namun merangkumi pelbagai bidang termasuk pertanian dan perniagaan.
Tambah beliau, terdapat kepelbagaian latar belakang dalam setiap lantikan Lembaga Pengarah MDEC.
BACA: Jawatan MDEC: Izzana Salleh bukan sahaja layak malah lebih daripada layak - Annuar Musa
BACA: Izzana layak, berprestasi tinggi, ada misi - Dua tokoh wanita sokong lantikan
“Isu dia (Izzana Salleh) tiada kepakaran IT, itu tidak menjadi merit kepada saya. Seorang anak muda, wanita pula itu, yang ada kelebihan perlu diberikan peluang dan mesti diberikan peluang.
“Jadi saya alu-alukan pelantikan beliau oleh Menteri Kewangan ke dalam agensi di bawah kementerian saya. Saya punyai keyakinan tinggi beliau akan dapat beri sumbangan besar kepada MDEC.
“Apa lagi nak suruh saya jelaskan, boleh dijelaskan. Orang nak terima atau tidak itu persoalannya... tapi itulah penjelasannya,” katanya dalam sidang media selepas pelancaran perkhidmatan telekomunikasi Unbox Malaysia di Petaling Jaya pada Sabtu.
Tambah Annuar, beliau hairan pelantikan Izzana dalam MDEC menjadi buah mulut ramai orang sedangkan beliau pernah dilantik dalam beberapa agensi kerajaan sebelum ini, namun tidak dipertikaikan seperti sekarang.
“Betul tak dalam Parlimen itu ada orang dah dijatuhkan hukuman? Ada tak orang dijatuhkan hukuman, dapat pengampunan di sana? Ada tak yang dijatuhkan hukuman, sedang menjalani rayuan?
KKMM komited pembangunan ekonomi digital
“Ada tak yang sedang menjalani perintah mahkamah, naik turun mahkamah? Adakah kita nak mangsakan anak-anak mereka? Biarkan proses berjalan.
“Kita jangan jadi satu masyarakat yang nak kutuk orang sampai berlebihan, pada sayalah,” ujarnya.
Dalam sidang media sama, Annuar sekali lagi menyatakan kelayakan Izzana “lebih daripada mencukupi” untuk menjawat jawatan tersebut.
Untuk rekod, Izzana dilantik sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif MDEC berkuat kuasa 1 Disember lepas.
Pelantikan Izzana antara lain menjadi pertikaian memandangkan beliau merupakan anak kepada bekas Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Komuniti, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil yang juga bekas Ketua Wanita UMNO.
Kerajaan Malaysia sebelum ini menuntut semula hutang RM253.6 juta daripada National Feedlot Corporation (NFC) dengan Izzana sebagai Ahli Lembaga Pengarah ketika itu dan juga antara defendan kes tersebut.
#Annuar Musa #Izzana Salleh #KKMM #MDEC