"Jawab betul-betul. Ini bukan taman permainan" - Najib tempelak Guan Eng

Rahimah Abdullah
November 26, 2018 19:31 MYT
Najib mengingatkan Guan Eng (gambar) agar jangan memilih jalan mudah dengan menyalahkan 1MDB untuk semua perkara. - BERNAMA/Fail
Datuk Seri Najib Tun Razak membidas kenyataan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang didakwa melakukan 'tai-chi' terhadap isu pengaliran keluar dana haram kepada 1MDB semasa menjawab soalan di dewan rakyat.
Bekas perdana menteri itu mendakwa, Guan Eng cuba memperlekehkan isu berkenaan kerana mengalih perhatian dengan sengaja melibatkan 1MDB.
"Guan Eng pula memperlekehkan isu ini dan tiba-tiba memberi jawapan bahawa ini salah 1MDB, walaupun 1MDB tidak ada kaitan langsung dengan pengaliran keluar dana haram melalui kaedah trade mispricing.
"Senang dia jawab ini kerana 1MDB dan kemudiannya bergaduh dengan Ahli Parlimen lain apabila mereka mendesak Menteri Kewangan menjawab dengan serius. Beginikah taraf menteri yang anda mahukan?" katanya melalui laman sosial Facebooknya hari ini.
Kepada Guan Eng, dua soalan diajukan Najib untuknya.
"Bagaimana pula hutang RM30 bilion yang mempunyai banyak aset pada ketika saiz ekonomi kita sebesar RM1.35 trilion boleh menjahanamkan negara tetapi skandal FOREX RM33 bilion yang hilang begitu sahaja tanpa sebarang aset atau pulangan pada keitka saiz ekonomi hanya RM180 bilion pada masa itu tidak menjahanamkan negara?
"Bagaimana pula hutang RM30 bilion boleh menjahanamkan negara tetapi kerajaan PH (Pakatan Harapan) dengan mudah menjarah RM82 bilion dari Petronas untuk tahun ini dan tahun depan?" kata Najib.
Beliau turut mengingatkan Guan Eng agar jangan memilih jalan mudah dengan menyalahkan 1MDB untuk semua perkara.
"Ya, 1MDB ada masalahnya. Oleh itu, kita patut teruskan perjanjian penyelesaian dengan IPIC dan tumpu untuk memajukan aset 1MDB yang sedia ada seperti TRX dan Bandar Malaysia supaya 1MDB boleh membayar balik semua hutang dan meraih untung.
"Jawab betul-betul. Ini bukan taman permainan. Ini sebuah kerajaan bagi sebuah negara," ujarnya.
#1MDB #Cuba #Dewan Rakyat #ekonomi #haram #hilang #kerajaan #laman sosial #Lim Guan Eng #Malaysia #menteri #Najib Razak #Parlimen #Perdana Menteri #Petronas #rakyat
;