Jauhkan diri dari politik..., tegas Nazri kepada TMJ
Astro Awani
Jun 13, 2015 19:38 MYT
Jun 13, 2015 19:38 MYT
Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz hari ini mengecam Tengku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim ekoran status Facebook Baginda mengenai sesi dialog #Nothing2Hide.
Menurut laporan Malaysiakini, Nazri berkata Tunku Ismail harus menjauhkan diri daripada politik.
"Saya rasa beliau harus menjauhkan diri daripada politik. Jika tidak, beliau juga akan dapat benda yang sama. Kita akan whack (belasah secara lisan) dia.
“Raja-raja dan keluarga diraja berada di luar daripada undang-undang (justeru tidak sepatutnya campur tangan dalam politik). Kalau dia (Tunku Ismail) mahu menjadi ahli politik, jadi dia perlu beritahu. Kemudian kita boleh menjawab balik.
"Jika kamu memegang jawatan penting sebagai keluarga diraja di negeri dan kamu mula mengulas (politik)... kalau kerajaan 'belasah' kamu balik, jangan marah," lapor portal itu.
Tunku Ismail sebelum ini, memuat naikkan suatu status di laman Facebook Johor Southern Tigers, dengan menyatakan baginda tidak terkejut apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak hadir ke sesi dialog itu.
“Bagaimana boleh diadakan suatu dialog bertajuk #Nothing2Hide dengan mengetengahkan seorang yang ingin menyembunyikan segala-galanya?
“Tentu sekali dia tidak akan muncul,” titah baginda.
Sesi dialog #Nothing2Hide itu dibatalkan oleh polis, atas dakwaan faktor keselamatan.