Jauhi sifat hasad dengki, fitnah, prasangka - Agong

Ridauddin Daud
Julai 19, 2023 10:10 MYT
Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah Aminah berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan di Kuala Lumpur, pada Rabu. Turut mengiringi baginda berdua ialah Anwar Ibrahim dan Dr Wan Azizah. - Gambar Astro AWANI/ SHAHIR OMAR
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah bertitah agar rakyat Malaysia menjauhi sifat hasad dengki fitnah-memfitnah, prasangka, sempit dan negatif.
Mengambil ibrah penghijrahan junjungan besar Nabi Muhammad SAW, Seri Paduka Baginda menyeru semangat kesatuan, perpaduan tanpa mengira latar belakang agama, bangsa dan adat resam diterapkan di Malaysia.
Titah Al-Sultan Abdullah, semangat dan roh hijrah dalam memupuk sifat amanah dan berintegriti juga hendaklah sentiasa tumbuh segara dalam jiwa setiap rakyat Malaysia.
Seri Paduka Baginda bertitah, kesepaduan kaum Muhajirin dan Ansar yang berlaku 1,400 tahun lalu merupakan semangat yang wajar dijadikan pedoman utama dalam mengurus kepelbagaian dan kerencaman negara.
"Bersempena dengan kedatangan Tahun Baharu Hijrah, marilah kita bersama mensyukuri akan nikmat keamanan dan kemakmuran negara yang telah kita kecapi.
"Suburkan rasa kasih dan kecintaan kita kepada tanah air ini, sebagaimana cintanya Rasulullah SAW kepada tanah kelahiran baginda.
"Mengambil ibrah daripada peristiwa hijrah ini, beta ingin mengajak seluruh rakyat untuk bersatu hati dalam membentuk sebuah masyarakat yang lembut dalam berbicara, halus dalam berpesan.
"Juga harmoni dalam ikatan persaudaraan, jujur dalam pekerjaan, amanah dalam menggalas tugas dan gagah perkasa dalam mencipta kejayaan," titah baginda lagi.
Al-Sultan Abdullah bertitah demikian pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1445H/2023M di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, di sini, pada Rabu.
Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berkenan berangkat ke majlis tersebut.
Hadir sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof.
Al-Sultan Abdullah bertitah, semangat dan roh penghijrahan Nabi Muhammad adalah penting demi membangunkan sebuah negara pertiwi.
Dalam masa sama, Seri Paduka Baginda turut menyeru rakyat bersama menghayati tema sambutan Maal Hijrah pada tahun ini iaitu "Perpaduan Teras Malaysia Madani".
Baginda juga menghargai usaha kerajaan dalam menggerakkan agenda Malaysia Madani dan transformasi hal ehwal agama.
"Beta menghargai usaha kerajaan dalam menggerakkan agenda Malaysia Madani bagi membentuk masyarakat menghayati nilai ihsan, mendokong prinsip keadilan dan mengamalkan semangat toleransi.
"Beta turut menghargai pelaksanaan transformasi hal ehwal agama menuju Malaysia Madani, sebagai langkah proaktif untuk menjayakan agenda pembangunan dan pembaharuan ummah," titah Yang di-Pertuan Agong lagi.
#Yang di-Pertuan Agong #Maal Hijrah #Perpaduan Teras Malaysia Madani #sambutan Maal Hijrah
;