Jauhi hubungan seksual terlarang, penyumbang utama HIV dan AIDS - Khutbah Jumaat
Aida Aziz
Disember 2, 2022 15:21 MYT
Disember 2, 2022 15:21 MYT
IPOH: Peningkatan kes HIV lebih tertumpu kepada hubungan seksual khususnya hubungan sejenis lelaki dengan lelaki sejak lima hingga enam tahun kebelakangan ini.
Pesanan itu diketengahkan menerusi teks khutbah Jumaat di seluruh Perak dengan tajuk Hubungan Seksual: Penyumbang Utama Jangkitan HIV dan Penyakit AIDS.
Menurutnya lagi, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan faktor terbesar yang menyumbang kepada statistik jangkitan HIV di Malaysia pada tahun 1990 hingga 2010, disebabkan penggunaan dadah secara suntikan.
Bagaimanapun katanya, faktor tersebut tidak lagi merupakan penyumbang terbesar, sebaliknya berpunca daripada hubungan seksual.
"Hari AIDS sedunia ditetapkan pada 1 Disember setiap tahun, bertujuan meningkatkan kesedaran awam akan jangkitan HIV, yang membawa kepada penyakit AIDS.
"HIV ialah jangkitan virus melalui cecair atau darah yang mampu memusnahkan daya ketahanan badan seseorang berpunca dari pelbagai faktor.
"Antaranya perkongsian suntikan jarum, seks rambang iaitu bertukar-tukar pasangan, seks songsang atau hubungan sejenis, dan beberapa sebab lain," katanya.
Menurut teks itu lagi, data merekodkan sehingga 2018, daripada keseluruhan jumlah jangkitan HIV, sebanyak 94 peratus berpunca kerana hubungan seksual.
Katanya lagi, daripada peratusan tersebut, 57 peratus berpunca kerana hubungan sejenis antara lelaki atau dikenali sebagai gay, manakala 37 peratus disebabkan hubungan seksual berlainan jantina.
"Oleh itu, hubungan sejenis antara lelaki dengan lelaki atau wanita dengan wanita, atau dengan pasangan berlainan jantina yang tidak halal, atau ada antara mereka yang berhubungan dengan dua-dua jantina, atau apa-apa jua cara melepaskan nafsu selain dari jalan yang dibenarkan syarak; hukumnya haram dan dianggap dosa zina.
"Dalam sejarah tamadun manusia, hubungan sejenis pernah diamalkan oleh umat Nabi Lut AS.
"Allah SWT menyifatkan perlakuan tersebut sebagai khabais iaitu jijik, keji, kotor dan hina kerana ia tabiat yang merosakkan.
"Nabi Lut AS berulang kali memperingatkan kaumnya bahawa perlakuan ini mengundang kemurkaan Allah SWT, namun kaumnya tidak peduli dan terus menerus melakukannya. Akibatnya Allah menghukum mereka dengan azab yang dahsyat," katanya lagi.
Katanya, mereka yang dijangkiti HIV berisiko mendapat penyakit AIDS yang boleh menyebabkan beberapa kesan seperti demam, cirit birit berpanjangan, penurunan berat badan mendadak, bengkak kelenjar, batuk kering berpanjangan, menjangkiti orang lain dan paling bahaya boleh membawa kepada kematian.
Sehingga kini masih tiada rawatan yang boleh menghapuskan virus ini namun HIV boleh dikawal melalui rawatan awal sebelum ia berubah menjadi AIDS.
"Segera dapatkan rawatan di klinik atau hospital berdekatan, serta mendisiplinkan diri mematuhi segala arahan dan kaedah rawatan yang diberikan oleh pakar perubatan.
"Pesakit akan didedahkan dengan rawatan ARV selepas melakukan ujian saringan dan berpeluang mendapatkan khidmat kaunselor bagi terapi psikologi," katanya.
Kata teks khutbah itu lagi, perbuatan hubungan seksual yang dilarang Islam adalah haram dan wajib dijauhi.
Selain itu, pelakunya berdosa besar dan perlu segera bertaubat memohon keampunan Allah SWT.
"Bagi yang belum bernikah, usahakan mencari pasangan yang halal, bagi yang sudah bernikah hendaklah tidak melakukan hubungan yang menjerumuskan diri melakukan dosa zina yang bakal mengundang kesan kesihatan pada diri malah merebak kepada ahli keluarga.
"Hubungan seksual bebas, hubungan sejenis dan sebagainya berisiko dijangkiti HIV yang boleh memudaratkan kesihatan diri dan orang lain.
"Bagi mereka yang dijangkiti HIV, janganlah merasa kecewa dan putus asa. Selagi hayat dikandungi badan, selagi mentari terbit menyinar dari ufuk timur, di sana ruang taubat terbuka seluas-luasnya memberi peluang untuk perubahan.
"Jalanilah kehidupan yang sihat, lakukan rawatan susulan dengan disiplin dan seterusnya perbanyakan doa, solat dan taubat pada Allah SWT; sesungguhnya Allah maha pengampun lagi maha penerima taubat," katanya.
Dalam pada itu, ibu bapa harus memantau perkembangan anak-anak dan tingkah laku mereka serta ambil tahu dengan siapa mereka bergaul, beri panduan kehidupan pada mereka dan peringatan agar menjauhi perbuatan zina.
"Jika terdapat dalam kalangan ahli keluarga, sanak saudara atau sahabat yang dijangkiti HIV, jangan disisihkan mereka atau bersifat menghukum; sentiasalah memberi dorongan dan sokongan pada mereka agar dapat menjalani kehidupan seperti biasa," katanya.
Katanya lagi, bagi yang memiliki kecenderungan terhadap jantina sama, segeralah merawatnya dengan bertemu pakar kesihatan melalui terapi kognitif dan kaedah lain yang dapat membendungnya.