Jatuh kondo: Kematian pemaju bergelar Datuk tiada unsur jenayah - Polis

Dewi Nur Harasha Alias
Oktober 6, 2021 19:21 MYT
Fisol menunjukkan gambar sebuah kondomonium mewah di Jalan Kelawai melibatkan seorang ahli perniagaan yang ditemukan mati dipercayai terjatuh dari sebuah kondominium tersebut awal pagi semalam. - Foto BERNAMA
GEORGE TOWN: Polis mengesahkan tiada unsur jenayah melibatkan kematian seorang pemaju hartanah bergelar Datuk yang maut dipercayai akibat terjatuh dari sebuah kondominium di Jalan Kelawai, Pulau Pinang semalam.
Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Fisol Salleh berkata siasatan yang dijalankan polis sejak semalam mendapati lelaki berusia 53 tahun itu meninggal dunia akibat kecederaan parah selepas terjatuh dari balkoni rumahnya di tingkat 16 kondominium tersebut.
Semasa kejadian isteri mangsa yang berusia 55 tahun dan anak perempuan serta anak lelaki mangsa masing-masing berumur 24 serta 21 tahun sedang tidur.
Polis juga katanya telah mengambil keterangan daripada isteri dan dua anak lelaki mangsa.
Wanita itu turut memaklumkan suaminya pernah dipanggil untuk siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
"Hasil keterangan, isteri si mati ada katakan subjek pernah dipanggil dan disiasat oleh SPRM. (Juga) hasil siasatan CCTV tidak ada menunjukkan ada pergerakan keluar masuk ke kondo mewah. Yang mana terbaru pegawai siasat (kematian) disebabkan jatuh dari balkoni, tempat tinggi," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini pada Rabu.
BACA: Pemaju hartanah berpangkat Datuk maut jatuh kondominium
Selain itu, berdasarkan pemeriksaan dalam rumah mangsa juga tidak menemui sebarang pergelutan serta lelaki itu juga tidak meninggalkan sebarang nota dan mangsa juga dikatakan tidak mengalami masalah depresi atau tekanan lain.
Tambah Fisol, setakat ini kematian lelaki itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) namun polis tetap akan menjalankan siasatan lanjut.
Justeru dia yang enggan mendedahkan identiti lelaki itu turut meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kematian ahli perniagaan tersebut.
"Keterangan awal siasatan awal tidak ada unsur jenayah dan juga dari post mortem. Kita minta tuan semua jangan spekulasi isu ini, hormat kepada keluarga," jelasnya lagi.
#pemaju maut #jatuh kondo #Fisol Salleh #tiada unsur jenayah
;