Jasad pendaki Malaysia selamat dibawa turun dari Gunung Denali, Alaska
Bernama
Jun 2, 2024 18:00 MYT
Jun 2, 2024 18:00 MYT
PUTRAJAYA: Jasad pendaki gunung dari Malaysia, Zulkifli Yusuf yang dilaporkan meninggal dunia di Gunung Denali, Alaska telah selamat dibawa turun dengan bantuan pihak berkuasa tempatan, menurut Kementerian Luar menerusi pengesahan yang diperoleh daripada Konsulat Jeneral Malaysia di Los Angeles, Amerika Syarikat.
Ringkasan AI
- Pendaki gunung dari Malaysia, Zulkifli Yusuf, meninggal dunia di Gunung Denali, Alaska semasa berlindung di dalam gua salji 'Football Field'.
- Punca kematian disyaki akibat 'high altitud cerebral edema' dan hipotermia.
- Jasad Zulkifli selamat dibawa turun dengan bantuan pihak berkuasa tempatan. Jenazah kini berada di pejabat kesihatan tempatan menunggu untuk dibedah siasat, kata Wisma Putra.
Kementerian itu (Wisma Putra) dalam satu kenyataan pada Ahad berkata jasad pendaki itu kini berada di pejabat kesihatan tempatan menunggu untuk dibedah siasat.
Ia berkata pihak waris telah membuat keputusan supaya jenazah dibawa pulang ke Malaysia.
"Konsulat Jeneral Malaysia akan meneruskan bantuan konsular yang sewajarnya agar pengurusan dan penghantaran pulang jenazah dapat berjalan dengan lancar," katanya.
Sementara itu, Kelab Jelajah Alpine Malaysia menerusi hantaran di Facebook berkata pendaki berkenaan, Zulkifli Yusuf, 37, dilaporkan meninggal dunia pada 6 pagi (waktu tempatan) pada Rabu semasa berlindung di dalam gua salji yang dikenali sebagai 'Football Field'.
"Punca kematian Zulkifli disyaki akibat 'high altitud cerebral edema' dan hipotermia manakala perkara itu akan disahkan melalui bedah siasat," menurut kelab itu.
-- BERNAMA