Jasad mangsa nahas di Chiang Mai tiba di tanah air
Bernama
Disember 23, 2015 01:04 MYT
Disember 23, 2015 01:04 MYT
Kesemua jasad 13 rakyat Malaysia yang maut dalam nahas bas pelancong di Chiang Mai, Thailand pada Ahad, tiba di tanah air awal pagi Rabu.
Selain yang terkorban, turut dibawa pulang melalui penerbangan ihsan menggunakan dua pesawat C-130 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Tentera Udara Diraja Thailand itu adalah seorang warga Malaysia yang cedera dalam kejadian itu serta waris mereka.
Pesawat TUDM tiba di Pangkalan Udara TUDM Subang pada 3.32 pagi manakala pesawat Tentera Udara Thailand pula pada 3.38 pagi selepas penerbangan kira-kira 3 jam dari Chiang Mai, yang terletak 700 km ke utara Bangkok, ibu negara Thailand.
Turut kelihatan menyambut kepulangan mangsa insiden tragik itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mah Siew Keong.