Jasad mangsa buli T. Nhaveen selamat disemadikan

Astro Awani
Jun 16, 2017 16:51 MYT
D. Shanti, ibu kepada mangsa buli mendiang T. Nhaveen cuba ditenteramkan di Pusat Pembakaran Mayat Jalan Batu Gantung hari ini. -Bernama
Jasad mangsa buli, mendiang T. Nhaveen, 18, selamat disemadikan kira-kira jam 4.30 petang Jumaat.
Suasana pilu menyelubungi Rumah Pengkebumian Batu Gantung pada upacara penghormatan terakhir.
Ibu mendiang D.Shanti dan adik perempuannya yang berusia 15 tahun bersama lebih 1,000 ahli keluarga serta sahabat handai mendiang hadir pada upacara tersebut.
Turut hadir memberi penghormatan terakhir buat mendiang, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Rohani Abdul Karim.
Rakan-rakan mendiang membawa plakad dan poster “Justice for Nhaveen” ketika mengiring keranda ke pusat pembakaran mayat di Krematorium Batu Gantung dan melaungkan “We Want Justice for Nhaveen” sebelum upacara bermula.
Nhaveen yang mati otak sejak lima hari lalu selepas dipukul sekumpulan lelaki disahkan meninggal dunia kira kira jam 6 petang Khamis.
Dalam kejadian Sabtu lalu, Nhaveen didakwa dipukul sekumpulan lelaki berhampiran Pusat Pembelajaran Karpal Singh, Jalan Kaki Bukit, di sini.
Pemeriksaan hospital turut mendapati duburnya terkoyak dipercayai akibat kemasukan objek keras.
#buli #D Shanti #Lim Guan Eng #Nhaveen #Rohani Abdul Karim #Rumah Pengkebumian Batu Gantung
;