Jasad dipercayai pendaki warga Malaysia yang hilang di Gunung Damavand Iran ditemui

Hakim Rahman
November 28, 2016 19:15 MYT
Dua pendaki itu, Syed Redzuan Syed Salim Shatri, 50 dan Ramli Abd Majid, 44, disahkan hilang di gunung setinggi 5,610 meter itu pada 20 November. - Foto Reuter
Pasukan Mencari dan Menyelamat (SAR) menemui satu jasad dipercayai seorang daripada dua pendaki Malaysia yang hilang di Gunung Damavand, Iran sejak 20 November lalu.
Menurut Ketua Ekspedisi, Rozaimi Mohd Said, pasukan SAR menemui jasad itu yang memakai jaket merah, seluar hitam dan but mendaki.
"Pasukan berkenaan bagaimanapun belum mengesahkan identiti jasad yang ditemui itu," katanya ketika dihubungi Astro AWANI melalui aplikasi Whatsapp sebentar tadi.
Rozaimi memaklumkan keadaan tidak selamat buat masa ini untuk meneruskan misi mencari dan menyelamat.
Dia berkata sekumpulan lima anggota SAR akan dikerahkan ke lokasi pada malam nanti untuk meneruskan misi pencarian.
Dua pendaki itu, Syed Redzuan Syed Salim Shatri, 50 dan Ramli Abd Majid, 44, disahkan hilang di gunung setinggi 5,610 meter itu pada 20 November selepas terpisah daripada anggota kumpulan pendaki yang lain.
#Gunung Damarvand #Iran #pendaki hilang #Rozaimi Mohd Said
;