Jasad anggota PGA terkorban dibawa ke Kem Bidor untuk penghormatan terakhir
Adie Sufian Zulkefli
November 24, 2020 19:11 MYT
November 24, 2020 19:11 MYT
ALOR SETAR: Bedah siasat mayat mendiang Koperal Baharuddin Ramli, 54, yang terkorban dalam kejadian tembak-menembak di sempadan Malaysia-Thailand, dekat Padang Besar, selesai jam 6.20 petang tadi.
Proses bedah siasat dijalankan di Unit Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini.
Jasad mendiang diarak dalam keranda sebelum dibawa masuk ke kenderaan dengan penuh istiadat kepolisan.
Ketua Polis Kedah, Datuk Zainuddin Hassan bersama kepimpinan tertinggi polis selain kira-kira 30 anggota dan pegawai PGA turut hadir memberi penghormatan.
Kenderaan membawa mayat mendiang kemudian bergerak ke Kem Batalion 3 (Senoi Praaq) Pasukan Gerakan Am (PGA) di Bidor untuk upacara penghormatan terakhir.
Dalam kejadian jam 3.10 pagi tadi Baharuddin maut selepas terkena tembakan dipercayai anggota kumpulan penyeludup ketika bertugas di pos sempadan Malaysia-Thailand.
Ketika kejadian, beliau sedang bertugas bersama seorang lagi anggota PGA, Koperal Norihan Tari, 39, yang turut terkena tembakan dan mengalami kecederaan parah.
Difahamkan mendiang pada awalnya dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di Kangar sebelum dihantar ke HSB Alor Setar, untuk proses bedah siasat.