Jasad Adelina Lisao dijangka dihantar pulang malam ini
Dewi Nur Harasha Alias
Februari 15, 2018 20:50 MYT
Februari 15, 2018 20:50 MYT
Jasad mendiang Adelina Lisao, 26 tahun, pembantu rumah warga Indonesia yang meninggal dunia dipercayai didera majikannya dijangka akan dihantar pulang ke kampung halamannya di Nusa Tenggara, Indonesia malam ini.
Naib Konsul Ganeral Indonesia di Pulau Pinang, Osrinikita Zubhana memaklumkan proses dokumentasi untuk membawa pulang jasad Adelina sedang dijalankan selepas mendapat kelulusan polis.
Osrinikita berkata, urusan bedah siasat sudah selesai dan urusan membawa pulang jasad mendiang dibuat menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.
Sementara itu, kertas siasatan kes kematian Adelina hampir siap, kata Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk A. Thaiveegan.
Beliau berkata polis kini masih menunggu laporan penuh bedah siasat dan perubatan mangsa.
Katanya, 19 individu termasuk tiga doktor, saksi dan jiran majikan pembantu rumah malang itu diambil keterangan bagi membantu siasatan.
Pada Sabtu lepas, Adelina berjaya diselamatkan polis selepas didakwa didera oleh majikannya namun disahkan meninggal dunia pada keesokan harinya sewaktu sedang menerima rawatan di Hospital Bukit Mertajam akibat kegagalan organ yang disebabkan kekurangan darah.
Wanita itu ditemukan sedang duduk di kawasan luar pagar rumah majikannya oleh wartawan sebelum memaklumkan perkara itu kepada pihak polis.
Mangsa juga dipercayai dipaksa majikannya tidur di luar rumah hanya beralaskan tikar dan ditemani anjing.
Susulan itu, polis telah menahan reman majikannya, seorang wanita dan dua anaknya, masing-masing lelaki dan wanita berusia 36 dan 39 tahun.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.