JASA mahu pegawai dilengkap ilmu

Media Statement
Jun 28, 2016 16:48 MYT
MOHD PUAD: Program ini akan menjadikan JASA boleh bergerak lebih jauh ke hadapan dari segi peranan dan fungsinya. - Gambar fail
PERANAN Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia sebagai jentera yang memberi input dan membina persepsi positif terhadap kerajaan memerlukan pegawai penggerak yang berpendidikan tinggi dan berwibawa untuk menjayakan segala strategi.
Bagi melengkapkan pegawai-pegawainya dengan ilmu untuk mengharungi perkembangan dunia masa kini yang mencabar, JASA bersetuju untuk menjalin kerjasama dengan Pusat Pengajian Antarabangsa (SOIS), Universiti Utara Malaysia (UUM) bagi melaksanakan Program Pengajian Secara Mod Eksekutif kepada Pegawai JASA yang berminat untuk menyambung pengajian.
Menurut Ketua Pengarah JASA, Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi, program ini akan menjadikan JASA boleh bergerak lebih jauh ke hadapan dari segi peranan dan fungsinya.
"Melalui pengajian lanjutan seperti ini ia akan mewujudkan peluang karier yang lebih luas dalam kalangan pegawai JASA dan membantu meningkatkan kredibiliti, keupayaan, kemampuan dan keyakinan JASA sendiri sebagai sebuah agensi yang boleh berdaya saing," ujarnya.
JASA telah mengenalpasti seramai 140 orang pegawainya yang berminat untuk mengikuti program kerjasama ini.
Daripada jumlah itu, seramai 85 orang memohon pengajian Ijazah Sarjana dan Doktor Falsafah.
Program ini dirangka membabitkan penawaran program Ijazah Sarjana Muda (Pengurusan Hubungan Antarabangsa), Ijazah Sarjana (Pengajian Kenegaraan) dan Doktor Falsafah (Politik dan Hubungan Antarabangsa) yang dilihat kritikal kepada keperluan dan fungsi institusi seperti JASA.
MoU tersebut ditandatangani oleh Naib Canselor UUM, Prof. Datuk Seri Dr. Mohamed Mustafa Ishak dan Ketua Pengarah JASA, Datuk Dr. Mohamad Puad Zarkashi disaksikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Yang Berhormat Senator Datuk Seri Dr. Mohd. Salleh Said Keruak pagi ini di sini.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh dalam ucap utamanya berkata, kerjasama ini adalah suatu langkah bijak yang dilakukan oleh JASA dan UUM yang menurut beliau akan melebarkan lagi jaringan pendidikan kepada semua pihak.
"Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada UUM dengan peningkatan yang begitu hebat antaranya lonjakan UUM dalam QS Ranking pada kedudukan 137 di Asia dan seterusnya meletakkan UUM pada kedudukan keenam di Malaysia selepas universiti-universiti penyelidikan," ujar beliau.
Sementara itu, Naib Canselor, Prof. Dato' Seri Dr. Mohamed Mustafa Ishak dalam ucapannya berkata, program-program kerjasama seperti ini telah banyak dilakukan oleh UUM dengan pelbagai agensi misalnya Biro Tata Negara, penggiat seni, ahli parlimen dan sebagainya.
"UUM sebagai education provider sentiasa berusaha untuk membuka akses untuk semua pihak mendapatkan pendidikan yang lebih tinggi.
"Kita percaya bahawa sekiranya pegawai-pegawai kerajaan, pemimpin-pemimpin dan penggiat masyarakat mempunyai ilmu pengetahuan yang tinggi, tentunya mereka dapat menyumbang kepada masyarakat dengan lebih baik dan membawa pemikiran tinggi dalam apa jua yang mereka lakukan," katanya.
#Peranan JASA Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia sebagai jentera yang memberi input dan membina persepsi positif terhadap kerajaan memerlukan pegawai penggerak yang berpendidikan tinggi dan berwibawa
;