JASA akan beri penerangan isu dana RM2.6 bilion dan 1MDB kepada mahasiswa
Bernama
Oktober 17, 2015 16:45 MYT
Oktober 17, 2015 16:45 MYT
Kerajaan akan terus memberi penjelasan mengenai sumbangan dana RM2.6 bilion dan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kepada mahasiswa di seluruh negara.
Ahli Panel Pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Lokman Noor Adam berkata selain itu isu pelaksanaan GST juga akan dijelaskan dalam bahasa mudah dan telus.
Bercakap dalam Program Townhall Jelajah Kampus anjuran JASA di depan hampir 500 mahasiswa Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dalam sesi dialog di Dewan Kecemerlangan UniMAP di sini, hari ini beliau meminta orang ramai menjadi keliru kerana mereka lebih mempercayai media sosial yang tidak menyertakan fakta tepat.
Selain Lokman Noor seorang lagi panel pemikir JASA dalam program itu ialah Tun Faisal Ismail Aziz yang menyatakan mahasiswa harus dapat memahami isu-isu tersebut dengan baik seandainya mereka tidak terpengaruh dengan media sosial.
Dalam dialog itu mahasiswa antaranya mengajukan punca kejatuhan nilai Ringgit dan kesannya terhadap negara, isu tuntutan BERSIH dan faedah Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).
Dialog dua hala selama dua jam itu dianjurkan oleh JASA bagi menjelaskan isu-isu negara selain untuk mendidik mahasiswa sayangkan negara dan mengukuhkan perpaduan, dipengerusikan Nasrun Adil Datuk Mohamed Yusof.
JASA merancang mengadakan 20 program jelajah akhir tahun di semua IPT seluruh negara dan UniMAP adalah IPT pertama mengadakan program tersebut.