JAS siasat kejadian ribuan ikan mati di Kampung Gajah

Abd Razak Mohd Ali
Disember 28, 2020 20:55 MYT
Siasatan awal mendapati lokasi kejadian terletak jauh dari kawasan perindustrian yang memungkinkan berlakunya pencemaran air. - Gambar/ Media sosial
PASIR SALAK: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak menghantar sekumpulan pegawai untuk mengkaji punca ribuan ikan mati di Sungai Tumboh, Kampung Gajah dekat sini, seperti yang tular di media sosial hari ini.
Pengarah JAS Perak, Rozli Zul berkata, siasatan awal mendapati lokasi kejadian terletak jauh dari kawasan perindustrian yang memungkinkan berlakunya pencemaran air.
Bagaimanapun, katanya, terdapat sebuah kilang memproses sawit dan kawasan pertanian terletak berhampiran lokasi itu.
“Kami sedang mengenal pasti punca dan telah mengambil sampel air di kawasan berkenaan untuk dianalisis terlebih dahulu.
“Kita sedang melihat segala kemungkinan yang boleh menjadi punca kejadian,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Sumber Facebook ustaztitm
Isu sama turut dikongsi Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dalam laman Facebook rasmi beliau.
Menurut Tuan Ibrahim, beliau menerima beberapa keping gambar dan video menunjukkan banyak ikan mati di Sungai Tumboh dan mengarahkan JAS melakukan siasatan segera.
#ikan mati #sungai tumboh #Kampung Gajah #keracunan #kawasan industri #JAS #alam sekitar #pengarah #Perak #Rozli Zul