JAS Selangor kesan pembakaran terbuka di tapak pelupusan haram di Banting

Bernama
Oktober 11, 2020 23:15 MYT
Pengarah JAS Selangor Nor Aziah Jaafar berkata pihaknya telah mengambil tiga sampel daripada tapak pelupusan sampah haram itu yang terletak berhampiran sebuah pasar raya besar untuk dianalisis Jabatan Kimia Malaysia. - BERNAMA
SHAH ALAM: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor mengesan aktiviti pembakaran terbuka timbunan bahan disyaki sarung plastik wayar dan papan litar elektronik hancur di sebuah tempat pelupusan sampah haram, di Banting hari ini.
Pengarah JAS Selangor Nor Aziah Jaafar berkata pihaknya telah mengambil tiga sampel daripada tapak pelupusan sampah haram itu yang terletak berhampiran sebuah pasar raya besar untuk dianalisis Jabatan Kimia Malaysia.
"Siasatan JAS Selangor mendapati bahan yang dibakar di tapak pelupusan sampah haram itu disyaki timbunan sisa berupa sarung plastik wayar yang telah diracik dan sisa papan litar elektronik yang dihancurkan.
"Tapak pelupusan sampah haram berkenaan telah diletakkan pita penghalang bagi mengelakkan pencerobohan oleh pihak tidak bertanggungjawab," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, pada Ahad.
Tambah Nor Aziah, JAS Selangor juga sedang mengesan pemilik tanah tapak pelupusan sampah haram berkenaan selain menjejaki kilang berdekatan yang menghasilkan bahan buangan seperti itu bagi melengkapkan kertas siasatan.
Beliau berkata kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 29A Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Seksyen 34B akta yang sama.
Sementara itu Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis berkata pihaknya menerima panggilan mengenai insiden pembakaran terbuka berkenaan pada pukul 3.30 petang tadi dan tiba di lokasi, sepuluh minit kemudian.
"Pasukan bomba mengambil masa selama 15 minit untuk mengawal kebakaran dan api berjaya dipadam sepenuhnya sejam kemudian," katanya.
Terdahulu, tular satu video berdurasi satu minit 14 saat memaparkan berlaku pembakaran terbuka sisa plastik hancur yang dibuang secara haram dan mendakwa ia menyebabkan berlaku pencemaran udara di beberapa kawasan kampung berhampiran.
Individu yang merakam video berkenaan turut mendakwa pembakaran terbuka tersebut dilakukan setiap hari.
-- BERNAMA
#Jabatan Alam Sekitar #JAS #Selangor #pembakaran terbuka #tempat pelupusan haram #Jabatan Kimia Malaysia #bahan buangan #kebakaran
;