JAS Selangor keluarkan 207 kompaun ke atas 36 premis perindustrian
Bernama
Februari 19, 2022 04:13 MYT
Februari 19, 2022 04:13 MYT
SHAH ALAM: Jabatan Alam Sekitar Negeri (JAS) Selangor mengeluarkan 207 kompaun berjumlah RM414,000 ke atas 36 premis perindustrian yang gagal mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan peraturan-peraturan di bawahnya.
JAS Selangor berkata ia merupakan hasil Op Gempur selama tiga hari bermula Selasa lepas yang dilaksanakan oleh 34 pegawai penguat kuasa yang membuat pemeriksaan ke atas 54 premis di kawasan perindustrian Klang Utara.
Selain itu, katanya JAS juga telah mengenakan tindakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) ke atas dua kilang yang melakukan kesalahan serius mencemarkan alam sekitar.
"Tindakan memberhentikan sementara operasi kilang ini diambil bagi memastikan langkah kawalan dan pembaikan segera dapat dijalankan oleh pihak terbabit dalam usaha menangani kejadian pencemaran yang berlaku," katanya.
JAS Selangor sentiasa komited dan memandang serius mengenai kesalahan membabitkan pencemaran alam sekitar dan orang ramai boleh menghubungi talian bebas tol 1-800-88-2727 atau e-mel ke aduan_k@doe.gov.my atau ke portal https://eaduan@doe.gov.my untuk melaporkan sebarang aduan berkaitan.
-- BERNAMA