JAS sedia bantu JKR kenal pasti punca tanah runtuh di Lebuhraya KL-Karak

Bernama
November 12, 2015 22:02 MYT
HAMIM: Jabatan Alam Sekitar (JAS) mempunyai pakar yang boleh membantu Jabatan Kerja Raya (JKR) mencari punca untuk mengatasi kejadian seumpama itu berulang. -fotoBERNAMA
Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar bersedia menghulur kepakaran dan bekerjasama dengan agensi-agensi berkaitan bagi mengenal pasti punca kejadian tanah runtuh di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, lewat petang semalam.
Timbalan menterinya Datuk Ir Hamim Samuri berkata agensi kementerian, Jabatan Alam Sekitar (JAS) mempunyai pakar yang boleh membantu Jabatan Kerja Raya (JKR) mencari punca untuk mengatasi kejadian seumpama itu berulang.
"JAS masih menunggu untuk mendapat maklumat terkini dari JKR yang membuat kerja-kerja penyelenggaraan runtuhan tersebut untuk tindakan," kata Hamim yang ditemui selepas membuat tinjauan pemetaan dan penandaan batu sempadan oleh Jabatan Ukur dan Pemetaan (JUPEM), di sini hari ini.
Kejadian tanah runtuh itu berlaku di KM52.5 berhampiran susur keluar Lentang-Bukit Tinggi.
Berikutan kejadian itu semua laluan terhalang menyebabkan lalu lintas dari kedua-dua arah terhenti dan sesak, lima kenderaan ditimpa tanah runtuh namun tiada kemalangan jiwa.
#banjir lumpur #Hamim Samuri #JAS #JKR #JUPEM #karak
;