JAS sedang teliti Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 untuk ditambah
Bernama
Januari 21, 2025 04:30 MYT
Januari 21, 2025 04:30 MYT
PUTRAJAYA: Jabatan Alam Sekitar (JAS) sedang meneliti Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 untuk ditambah baik dalam pindaan Fasa 2, kata Ketua Pengarah Alam Sekitar Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar.
Beliau berkata akta berkenaan dijangka dibentangkan di Parlimen pada suku keempat tahun ini untuk dimuktamadkan.
Wan Abdul Latiff berkata JAS terus memperkukuhkan penyampaian perkhidmatan dengan memberi penekanan terhadap peningkatan kompetensi Orang Yang Berwibawa (OYB) dalam industri, seiring dengan pemerkasaan Akta Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2024.
Menurut beliau ia merangkumi bidang-bidang kawalan pencemaran air, udara, buangan terjadual serta penilaian impak kepada alam sekitar daripada industri dan penggerak projek Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (ElA).
"Peningkatan bilangan OYB dari tahun ke tahun menunjukkan kesedaran dan kefahaman yang semakin mendalam dalam kalangan pihak industri untuk memastikan pematuhan terhadap perundangan yang telah dikuatkuasakan," katanya dalam kenyataan di sini pada Selasa.
Beliau berkata sehingga 15 Januari lepas, seramai 11,780 individu berjaya ditauliahkan melalui Program Pensijilan Profesional Alam Sekitar.
Ini membuktikan komitmen berterusan pihak industri dalam memastikan pematuhan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dapat dilaksanakan dengan jayanya.
-- BERNAMA
#Jabatan Alam Sekitar
#Akta Kualiti Alam Sekeliling
#Wan Abdul Latiff Wan Jaffar
#kawalan pencemaran