JAS sasar tingkat penguatkuasaan ke atas 10 sektor industri tahun ini
Bernama
Mac 9, 2022 06:10 MYT
Mac 9, 2022 06:10 MYT
KUALA LUMPUR: Jabatan Alam Sekitar (JAS) tahun ini menyasarkan untuk meningkatkan pematuhan ke atas 10 sektor industri yang memiliki tahap pematuhan yang rendah.
Ketua Pengarahnya Wan Abdul Latif Wan Jaffar berkata ia meliputi industri penyudahan logam dan sadur elektrik, kertas, pengilangan logam, plastik, galian bukan logam, penapisan minyak makan, makanan dan minuman, industri kimia, berasaskan getah dan penapisan petroleum.
Katanya industri-industri berkenaan dikenal pasti mempunyai tahap pematuhan yang rendah pada tahun lepas terutamanya premis industri yang menghasilkan efluen (sisa buangan cecair).
"Pada 2021, JAS telah berjaya meningkatkan bilangan pemeriksaan penguatkuasaan keseluruhan sebanyak 22,679 berbanding 22,555 pemeriksaan pada 2020 iaitu peningkatan sebanyak 19 peratus.
"Bagi memastikan pematuhan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS), 1974, JAS turut mengambil inisiatif berimpak tinggi dengan melaksanakan sebanyak 121 Ops Gempur di seluruh negara melibatkan pemeriksaan ke atas 2,707 premis yang terdiri dari pelbagai jenis industri," katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.
Wan Abdul Latif berkata selain itu, sebanyak 10,396 tindakan penguatkuasaan di bawah AKAS telah diambil ke atas premis industri yang gagal mematuhi peruntukan akta tersebut.
Ia merangkumi 7,050 kompaun, penahanan operasi kelengkapan (173), notis arahan (2,799), perintah larangan (enam), gantung lesen (21) serta sebanyak 347 kertas siasatan telah dibuka untuk pendakwaan di mahkamah.
"JAS sentiasa mengambil tindakan tegas dan tiada kompromi terhadap penjenayah alam sekitar. Orang awam diseru untuk melaporkan sebarang aktiviti yang mencemarkan alam sekitar di talian bebas tol 1-800- 88-2727 yang beroperasi 24 jam sehari atau e-mel ke aduan_k@doe.gov.my dan melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my," katanya.
-- BERNAMA