JAS P. Pinang arah kuari henti operasi serta-merta, pemaju, kontraktor akan didakwa

Dewi Nur Harasha Alias
Februari 20, 2022 18:35 MYT
Arahan tersebut dikeluarkan selepas siasatan mendapati pemaju melanggar peraturan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974. - JAS
BAYAN LEPAS: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang mengarahkan pemaju perumahan dan operator sebuah kuari di Persiaran Kelicap, di sini, menghentikan serta-merta aktiviti di kawasan itu.
Pengarahnya, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, arahan tersebut dikeluarkan selepas siasatan mendapati pemaju melanggar peraturan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
"Ia selepas pemaju didapati menjalankan aktiviti-aktiviti berkaitan pengkuarian selepas tempoh sah kelulusan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) aktiviti tersebut berakhir pada 7 Disember tahun lepas.
"Satu notis arahan secara serahan tangan telah dikemukakan JAS kepada pemaju. Notis arahan tersebut mengarahkan supaya semua aktiviti dan subaktiviti pengkuarian dihentikan serta-merta.
"Notis turut mengarahkan supaya pemaju mengemukakan laporan Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) bagi aktiviti perumahan mengikut kontur dalam tempoh enam bulan dari tarikh notis jika masih berminat untuk menjalankan aktiviti perumahan.
"Sekiranya tiada laporan EMP dikemukakan dalam tempoh yang ditetapkan, pemaju dianggap tidak berminat meneruskan aktiviti perumahan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sharifah Zakiah berkata, kelulusan baharu tidak diperbaharui pihaknya susulan zon penampan terkini yang tidak mencukupi.
Mengulas lanjut, beliau berkata, tapak tersebut telah mendapat kelulusan bagi membangunkan projek perumahan mengikut kontur pada 18 Ogos 1994 namun projek tersebut telah tertangguh beberapa kali.
Katanya, selepas tempoh operasi kuari tidak dilanjutkan, JAS negeri masih menerima aduan penduduk terdekat bahawa kuari masih beroperasi dan menimbulkan kacau ganggu.
"Intipan menggunakan dron dan siasatan pasukan penguatkuasa JAS Pulau Pinang pada 14 Februari lalu mendapati premis itu masih menjalankan aktiviti pemecahan batu (crushing) dan menggunakan ‘water cannon’ yang menghasilkan bunyi bising serta menimbulkan kacau ganggu kepada penduduk berdekatan," katanya.
Tegasnya, tiada sebarang kerja dibenarkan dijalankan di tapak berkenaan sehingga EMP dikemukakan dan disahkan oleh JAS Pulau Pinang.
"Meskipun tapak projek berkenaan masih mempunyai permit dan kelulusan kerja tanah yang dikeluarkan agensi lain, namun oleh kerana tapak ini tertakluk kepada kelulusan EIA, maka tiada aktiviti boleh dijalankan selepas tempoh kelulusan pengkuarian di bawah Perintah EIA tamat dan tidak dilanjutkan," katanya.
Dalam pada itu, Sharifah Zakiah memaklumkan pihaknya kini sedang melengkapkan kertas siasatan bagi mendakwa pemaju serta kontraktor terbabit di mahkamah.
Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 34 A, Seksyen 31 dan 38, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
Dalam pada itu, JAS Pulau Pinang memandang serius kegagalan mana-mana pemaju untuk mematuhi arahan yang dikeluarkan pihaknya.
Katanya, pembangunan yang dijalankan mestilah mengikut peruntukan undang-undang dan mengambil kira kebajikan pihak lain yang berkepentingan khususnya orang awam.
Ends
#JAS #kuari #jalan kelicap #Bayan Lepas
;