JAS nafi dakwaan abai aduan sungai tercemar di Gua Musang
Bernama
Disember 30, 2022 20:21 MYT
Disember 30, 2022 20:21 MYT
PUTRAJAYA: Jabatan Alam Sekitar (JAS) hari ini menafikan laporan disiarkan sebuah portal berita yang mendakwa jabatan itu mengabaikan aduan pencemaran Sungai Menintei, Gua Musang, yang dibuat oleh seorang wakil Orang Asli di kawasan itu.
Ketua Pengarahnya Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata laporan berita bertajuk 'Orang Asli Kelantan Kesal JAS Abai Aduan Sungai Tercemar' adalah tidak benar kerana siasatan mendapati pengadu tidak pernah mengemukakan permohonan kepada mana-mana pegawai JAS untuk mengambil sampel air sungai itu seperti didakwa.
"Artikel itu yang disiarkan pada 27 Dis lepas mendakwa, Pengerusi Wilayah Tanah Adat Kampung Kuala Wias dan Kampung Wok Encik Jimi Angah tidak dilayan oleh pegawai JAS semasa membuat permohonan mengambil sampel air sungai yang dikatakan tercemar itu.
"Bagaimanapun, siasatan mendapati pengadu sebenarnya bertemu dengan jururunding Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) pada 11 Dis lepas dan bukannya pegawai JAS," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Menurutnya semakan terhadap borang kerja lapangan pihak jururunding EIA yang ditandatangani oleh pengadu juga mendapati tiada sebarang permohonan daripada beliau untuk melakukan persampelan sungai yang direkodkan.
Sementara itu, Wan Abdul Latiff berkata bacaan kualiti air yang dilakukan oleh pegawai JAS di Sungai Menintei itu semalam menunjukkan bacaan konduktiviti (59 uS/cm), saliniti (0.03), Dissolve Oxygen (96.7 %) dan pH (7.7).
Katanya ini menunjukkan sungai berkenaan dalam Kelas I berdasarkan Standard Kualiti Air Kebangsaan Malaysia iaitu keadaan air sungai yang bersih.
-- BERNAMA