JAS Melaka gempur tapak haram simpan sisa toksik

Shuhada Abdul Kadir
Oktober 10, 2020 15:10 MYT
Siasatan lanjut mendapati terdapat lebih 900 tong, enam tangki 'intermediate bulk containers' (IBC), tujuh tong tercemar dan lima tangki simpanan minyak yang disyaki mengandungi enapcemar minyak. - Foto JAS
AYER KEROH: Jabatan Alam Sekitar (JAS) menyita sebuah tapak haram pembuangan sisa toksik berjadual serta lebih 900 tong berisi bahan terjadual berbahaya di sebuah kawasan lapang di Jalan Pengkalan Perigi, Tanjung Kling, Melaka.
Ketua Pengarah Alam Sekitar, Norlin Jaafar dalam kenyataannya berkata, sitaan itu dibuat dalam satu operasi bersepadu diketuai JAS Melaka yang dijalankan di kawasan tanah persendirian terbabit, selepas menerima aduan daripada orang awam pada Khamis lalu.
"Siasatan lanjut mendapati terdapat lebih 900 tong dram, enam tangki 'intermediate bulk containers' (IBC), tujuh tong tercemar dan lima tangki simpanan minyak yang disyaki mengandungi enapcemar minyak, manakala sisa toksik yang dikesan merupakan buangan terjadual enapcemar atau minyak yang disyaki daripada loji penapisan minyak dengan kod SW314.
"Pasukan siasatan JAS Melaka telah menjalankan persampelan bahan buangan berkenaan dan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia bagi tujuan analisis dan penentuan ciri serta komposisi bahan buangan itu, selain pemantauan dron dan kualiti udara dilakukan dari semasa ke semasa untuk memastikan keadaan selamat di lokasi kejadian," katanya dalam satu kenyataan, malam ini.
Katanya JAS Melaka telah menjalankan risikan dan intipan termasuk pemantauan dengan menggunakan dron sebelum melaksanakan operasi bersepadu ke premis tersebut bersama pihak berkuasa pada 8 Oktober lepas.
Pasukan siasatan JAS Melaka juga telah menjalankan persampelan dari bahan buangan tersebut yang akan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia dalam masa terdekat bagi tujuan analisis dan penentuan ciri serta komposisi bahan buangan itu.
Norlin berkata, pihak premis juga sudah diarah menjalankan pembersihan dan pelupusan buangan yang disyaki buangan terjadual, selepas siasatan selesai dijalankan melalui Notis Arahan di bawah Seksyen 31(1)(g) & 37(1)(c) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
Katanya, kertas siasatan juga sedang disediakan bagi pelbagai kesalahan di bawah Seksyen 34B, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 iaitu kesalahan menempatkan buangan terjadual tanpa kebenaran Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekeliling, yang jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara dan denda sehingga RM500,000.
"Saya memberi amaran keras kepada semua pihak terutamanya pihak industri, termasuk kontraktor pengangkut dan premis yang mengendalikan pengolahan dan pelupusan buangan terjadual, supaya memastikan sisa toksik dan berbahaya diuruskan dengan sempurna dan mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan," katanya.
Sumber Facebook doe.gov.my
#serbuan premis simpan sisa toksik #sisa toksik #operasi Jabatan Alam Sekitar #pencemaran #enapcemar minyak #loji penapisan minyak #sisa terjadual #serbu pencemaran