JAS kumpul lebih 2,000 tan metrik e-sisa sepanjang tahun ini
Bernama
November 27, 2021 05:15 MYT
November 27, 2021 05:15 MYT
KUALA LUMPUR: Jabatan Alam Sekitar (JAS) berjaya mengumpul sebanyak 2,283.7 tan mentrik bahan buangan elektrik dan elektronik (e-sisa) setakat bulan ini, melebihi 800 tan metrik yang disasarkan dikutip sepanjang tahun ini.
Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata Program Kemuncak Pengumpulan E-Sisa 2021 diadakan bagi menyokong aspirasi Kementerian Alam Sekitar dan Air untuk mengiktiraf hari Sabtu terakhir setiap bulan sebagai Hari Pengumpulan E-Sisa.
"Inisiatif ini diperkenal bertujuan untuk meningkatkan kesedaran awam tentang kepentingan pengurusan e-sisa secara mesra alam," katanya ketika berucap secara maya melancarkan program itu di Aeon Mall AU2 di sini semalam.
Beliau berkata pencemaran e-sisa menjadi antara isu utama di peringkat global susulan aktiviti pelupusan bahan itu yang tidak terurus dengan baik serta impaknya terhadap kesihatan manusia dan alam sekitar.
Katanya antara kesan e-sisa yang tidak diuruskan dengan baik terhadap manusia ialah boleh menyebabkan penyakit kanser, kerosakan buah pinggang dan menjejaskan sistem pernafasan.
Ketua Pengarah JAS Wan Abdul Latiff Wan Jaffar dalam ucapannya pula menyeru semua lapisan masyarakat supaya menyokong dan bersama-sama dengan agensi itu untuk memastikan pengurusan e-sisa dikendalikan secara mesra alam.
-- BERNAMA