JAS, Kualiti Alam pantau udara di lokasi kebakaran kimia
Sinar Harian
April 13, 2024 12:00 MYT
April 13, 2024 12:00 MYT
SEREMBAN: Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan pusat pengurusan sisa Cenviro Sdn Bhd (Kualiti Alam) memantau keadaan udara dan air di persekitarannya susulan kebakaran tempat simpanan bahan kimia berjadual di pusat berkenaan pada Jumaat.
Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan berkata, pihaknya sedang menunggu laporan terperinci termasuk daripada pihak Jabatan Alam Sekitar berkaitan kejadian berkenaan.
"Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian tersebut, namun penyiasatan tambahan sedang dijalankan untuk mengenal pasti punca sebenar kebakaran.
"Pihak berkuasa tempatan dan kerajaan negeri juga mengambil tanggungjawab untuk menangani kejadian tersebut dengan cekap dan berkesan," katanya dalam hantarannya di Facebook.
Beliau juga berharap kejadian itu dapat diatasi dengan segera dan langkah-langkah pencegahan yang diperlukan dapat diambil untuk mengelakkan berulangnya kebakaran sama pada masa hadapan.
Media pada Jumaat melaporkan tempat logistik (Side A) simpanan sisa bahan kimia berjadual di Cenviro Sdn Bhd (Kualiti Alam), Ladang Tanah Merah, A3 Division, Bukit Pelanduk, Port Dickson musnah dalam kejadian kebakaran yang berlaku.
Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan, panggilan kecemasan telah diterima pada jam 5:58 petang melibatkan keluasan kawasan 6,500 meter persegi di Shed A. - Sinar Harian